Majlis bertadarus di kediaman Menteri Pendidikan

Majlis bertadarus di kediaman Menteri Pendidikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Majlis Tadarus, Tahlil dan Doa Arwah Kementerian Pendidikan diteruskan lagi hari ini di kediaman Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, di Kampung Manggis.

Ia turut diselajurkan dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang Maghrib berjemaah.

Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Wahab bin Juned; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus, para pengarah, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan serta mahasiswa dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan bacaan tadarus Al-Quran yang dipimpin oleh Dr Sayyid Abdul Hamid Al-Mahdly dari UNISSA, yang kemudian turut memimpin bacaan Surah Yasin dan tahlil.

Dr Sayyid Abdul Hamid Al-Mahdly memimpin bacaan tadarus Al-Quran di kediaman Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar di Kampung Manggis, kelmarin.
Dr Sayyid Abdul Hamid Al-Mahdly memimpin bacaan tadarus Al-Quran di kediaman Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar di Kampung Manggis, kelmarin.

Majlis ini bertujuan untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat termasuk bertadarus Al-Quran di masjid-masjid dan rumah-rumah persendirian.

Di samping itu, ia adalah untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wataala, serta sebagai aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan.

Majlis Tadarus, Tahlil dan Doa Arwah sempena Bulan Ramadan Kementerian Pendidikan 1436H/2015M dikendalikan bersama oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Bahagian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Negara Brunei Darussalam.

Majlis seumpama ini akan diteruskan lagi pada 30 Jun 2015 di Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA