Majlis Bertadarus, Khatam dan Tahlil di Yayasan

Majlis Bertadarus, Khatam dan Tahlil di Yayasan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Bertadarus, Khatam Al-Quran dan Tahlil sempena bulan Ramadan 1436H/2015M yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Bangunan Yayasan di ibu negara.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi Haji Osman dan Timbalan Pengerusi 1 Lembaga Pengarah YSHHB, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim.

Majlis dimulakan dengan bacaan 30 juzuk Al-Quran oleh pembaca-pembaca yang terdiri daripada mualim dan pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebelum diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Tahlil yang dipimpin Awang Mohd Hashim Haji Abdullah, seorang tenaga pengajar di ITQSHHB.

Manakala doa Khatam dan tahlil pula dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar dan disusuli acara berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berangkat ke Majlis Bertadarus, Khatam Al-Quran dan Tahlil sempena bulan Ramadan 1436H/2015M di Dewan Serbaguna, Kompleks Bangunan Yayasan di ibu negara.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berangkat ke Majlis Bertadarus, Khatam Al-Quran dan Tahlil sempena bulan Ramadan 1436H/2015M di Dewan Serbaguna, Kompleks Bangunan Yayasan di ibu negara.

Majlis keagamaan ini turut dihadiri ahli-ahli jemaah tadbir, ahli-ahli lembaga pengarah, ahli-ahli lembaga pemegang amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Bagi Anak-Anak Yatim dan pegawai-pegawai serta kakitangan YSHHB dan barisan guru-guru Sekolah YSHHB.