Majlis bertahlil sempena 58 Tahun Perkhidmatan Radio Brunei

Majlis bertahlil sempena 58 Tahun Perkhidmatan Radio Brunei

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Sempena Ulang Tahun Penubuhan Perkhidmatan Radio Brunei ke-58 Tahun yang disambut setiap 2 Mei, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) telah mengadakan Majlis Membaca Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.

Hadir sama di majlis itu ialah Pengarah RTB, Haji Mohd Sofian bin Haji Bongsu berserta para pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.

Bacaan tahlil dipimpin oleh Pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Mohd Ali bin Haji Arshad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan, sejak penubuhan Radio Brunei yang dulu hanya mempunyai satu rangkaian, kini telah banyak memainkan peranan yang amat penting dalam memeduli dan mengenal pasti keperluan sasaran pendengarnya menerusi penerbitan beberapa rancangan yang dikendalikan oleh kelima-lima rangkaian iaitu Nasional FM, Pilihan FM, Harmoni FM, Pelangi FM dan Nur Islam.

Pengarah RTB bersama para pegawai dan kakitangan jabatan di Majlis Tahlil sempena Ulang Tahun Penubuhan Perkhidmatan Radio Brunei.
Pengarah RTB bersama para pegawai dan kakitangan jabatan di Majlis Tahlil sempena Ulang Tahun Penubuhan Perkhidmatan Radio Brunei.

Perkhidmatan Radio Brunei telah ditubuhkan pada 2 Mei 1957 dan dirasmikan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien iaitu bertepatan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pada ketika itu perkhidmatannya hanya dapat didengar selama dua jam 45 minit setiap hari iaitu selama sejam setengah dalam Bahasa Melayu dan 45 minit dalam Bahasa Inggeris.

Dalam tahun 1958 siaran radio bertambah menjadi kepada tiga bahasa apabila Bahasa Tionghua dimulakan.

ARTIKEL YANG SAMA