Majlis Bertahlil & sumbangan derma kepada mangsa buaya

Majlis Bertahlil & sumbangan derma kepada mangsa buaya

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 20 Ogos – Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam hari ini mengadakan Majlis Bertahlil bagi salah seorang pelajar Sekolah Rendah Sungai Teraban yang telah kembali ke rahmatullah Julai lalu akibat tragedi disambar buaya di kampungnya.

Mangsa, Allahyarham Mohd Haikal Al-Majid bin Sallehan meninggal dunia pada 5 Julai lalu akibat kejadian yang menyayat hati itu dengan meninggalkan ayah, ibu serta adik-beradiknya yang menyayanginya.

Majlis tersebut diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma daripada jabatan itu yang disampaikan kepada keluarga pelajar terbabit, di kediaman mereka di Kampung Sungai Teraban.

Hadir menyempurnakan sumbangan itu ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat) Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan.

Haji Azis ketika menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Mohd Haikal Al-Majid.
Haji Azis ketika menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Mohd Haikal Al-Majid.

Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan derma daripada pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan, selain pusat-pusat tingkatan enam, maktab-maktab, sekolah-sekolah menengah dan sekolah-sekolah rendah dari Kluster 1 hingga 6 dengan jumlah terkumpul sebanyak $10,883.00 yang diserahkan kepada ayah keluarga Allahyarham, Awang Sallehan bin Osman.

Sumbangan tersebut adalah sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap musibah yang menimpa keluarga berkenaan sehingga kehilangan anak lelaki bongsu yang sangat mereka kasihi.

Turut hadir pada majlis itu juga ialah ketua kampung Sungai Teraban, pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan guru-guru dari Sekolah Rendah Sungai Teraban Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA