Majlis Bertahlil warga Kementerian Kewangan

Majlis Bertahlil warga Kementerian Kewangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Warga Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, turut mengadakan Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para pegawai kanan dan kakitangan di kementerian berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin diikuti dengan bacaan Tahlil beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II pada Majlis Bertahlil tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II pada Majlis Bertahlil tersebut.
Pengiran Hajah Siti Nirmala semasa hadir di majlis Ceramah Khas anjuran Kementerian Kewangan.
Pengiran Hajah Siti Nirmala semasa hadir di majlis Ceramah Khas anjuran Kementerian Kewangan.
Dr. Lilly Suzana semasa menyampaikan ceramah ‘Ada Apa Dengan Ramadan’.
Dr. Lilly Suzana semasa menyampaikan ceramah ‘Ada Apa Dengan Ramadan’.

Manakala itu, pada masa yang sama, pegawai dan kakitangan wanita di kementerian berkenaan yang beragama Islam mengerjakan Solat Fardu Zohor berjemaah dan mengadakan majlis Ceramah Khas Sempena Bulan Ramadan.

Ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Lilly Suzana binti Haji Shamsu itu mengetengahkan tajuk ‘Ada Apa Dengan Ramadan’.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis ceramah berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad.

Turut hadir ialah ketua jabatan dan bahagian, pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan wanita yang beragama Islam di Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

ARTIKEL YANG SAMA