Majlis diskusi sempena Hari Sejarah Mujibnagar

Majlis diskusi sempena Hari Sejarah Mujibnagar

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan majlis diskusi sempena menyambut hari kemerdekaan atau dikenali sebagai Hari Sejarah Mujibnagar, bertempat di Premis Suruhanjaya Tinggi Bangladesh, Kampung Sungai Akar.

Pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdul Hye dalam ucapannya telah menyentuh mengenai sejarah Mujibnagar di mana seramai tiga juta orang rakyat Bangladesh tewas dalam peperangan pada tahun 1971.

Mujibnagar, yang sebelum ini dikenali sebagai Baidyanathtala merupakan sebuah bandar di Daerah Meherpur di Bangladesh.

Ia merupakan tempat yang sangat bersejarah bagi Bangladesh dan berharga bagi rakyat Bangladesh sehingga ke hari ini, ujar Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh.

“Tanggal 17 April merupakan hari yang bersejarah bagi Bangladesh, di mana kerajaan Bangladesh dengan rasmi mengangkat sumpah dan mengisytiharkan kemerdekaan peperangan berdarah di Mujibnagar”.

Semasa sesi diskusi yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama sempena Hari Sejarah Mujibnagar.
Semasa sesi diskusi yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama sempena Hari Sejarah Mujibnagar.

Menyentuh mengenai hubungan dengan Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama melahirkan kepercayaan bahawa potensi dua hala akan sentiasa berkembang.

Tuan Yang Terutama juga percaya bahawa terdapat kerjasama yang lebih baik dan luas serta mendalam dalam bidang-bidang tertentu di samping menekankan perlunya menggerakkan interaksi ekonomi dan komersial kedua-dua belah pihak.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan rasa penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan rakyat Baginda Sultan atas sokongan yang telah banyak diberikan, serta kerjasama kukuh yang telah diberikan kepada rakyat Bangladesh.

Terdahulu, majlis bermula dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan seterusnya ucapan daripada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh dan sesi diskusi bersama warga Bangladesh yang berada di Brunei.