Majlis Emas Dunia, Amanie Advisors kaji tubuh standard syariah global bagi emas

Majlis Emas Dunia, Amanie Advisors kaji tubuh standard syariah global bagi emas

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Majlis Emas Dunia, pertubuhan pembangunan pasaran bagi industri emas, bekerjasama dengan firma penasihat utama global bagi pasaran Islam, Amanie Advisors, untuk mengkaji kemungkinan menubuhkan standard syariah global bagi emas.

Majlis Emas Dunia dalam satu kenyataan berkata standard itu bertujuan menyediakan garis panduan bagi kegunaan emas dalam produk dan urus niaga kewangan Islam.

Draf pendedahan standard telah diterbitkan sebagai sebahagian daripada perundingan terbuka untuk mendapatkan pandangan dan perspektif daripada pelbagai pengamal kewangan Islam, ilmuan dan penggiat industri bagi memastikan standard itu menyediakan garis panduan yang mencukupi dan praktikal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aram Shishmanian berkata, oleh kerana saiz dan kepentingan pasaran perkhidmatan kewangan Islam semakin berkembang pesat, begitu juga keperluan untuk memahami penggunaan garis panduan syariah bagi kegunaan emas.

“Walaupun terdapat beberapa garis panduan bagi syiling dan jongkong emas, hampir tidak ada garis panduan mengenai emas dalam sektor kewangan.

“Perundingan ini adalah bertujuan untuk memastikan mana-mana standard syariah bagi emas yang dibangunkan oleh Majlis Emas Dunia mengambil kira pelbagai pandangan, memberi inspirasi keyakinan dan kelaknya menyediakan akses kepada emas dalam dunia Islam,” katanya.

Pengerusi Amanie Advisors, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata standard Islam sedia ada bagi emas tidak lengkap, menghalang pembangunan produk serta permintaan pasaran dan pembangunan standard syariah bagi emas merupakan sebahagian daripada proses penyelarasan lebih meluas dalam industri.

“Ia akan menyediakan garis panduan jelas mengenai emas kepada individu dan institusi, yang akan membawa kepada penjimatan masa dan kos kepada industri, pilihan terbaik dan seterusnya meningkatkan kecairan dan pertumbuhan dalam industri kewangan Islam,” katanya.

Majlis Emas Dunia berkata tempoh perundingan ditutup pada 31 Disember dan pihak-pihak yang berminat dipelawa memberikan pandangan dan maklum balas mereka mengenai draf pendedahan itu dan soal selidik perundingan di www.gold.org/shariah.

ARTIKEL YANG SAMA