Majlis Ilmu pemangkin usaha besar negara

Majlis Ilmu pemangkin usaha besar negara

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Sepanjang 12 tahun berturut-turut Majlis Ilmu telah banyak mengetengahkan tema-tema yang membayangkan aspirasi kepimpinan tertinggi negara dalam banyak bidang.

Ia merangsang dan mendorong kerajaan dan rakyat. Dan itulah berkat kepimpinan yang berkesan pemerintahan beraja. Dalam kemantapannya, ia mampu mendorongkan usaha serentak kerajaan dan rakyat pada mendukung dan menjayakan objektif kepimpinan intelektualisme raja dan wali ulil-amri yang ditaati.

Ini dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa berucap pada Majlis Malam Penghargaan Majlis Ilmu 2015 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, di sini, malam ini.

Menurut beliau, Majlis Ilmu merupakan salah satu pemangkin penting bagi setiap ungkayah besar Brunei dalam transformasinya untuk menepati ciri utama negara maju iaitu dengan kejayaan menguasai ilmu pengetahuan yang tinggi.

Malam Penghargaan Majlis Ilmu 2015 sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun, dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan plak penghargaan kepada Setiausaha Agung Rabitah Al-’Alam Al-Islami Kerajaan Arab Saudi, Dr. Abdullah bin Abdul Mohsen At-Turki.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan plak penghargaan kepada Setiausaha Agung Rabitah Al-’Alam Al-Islami Kerajaan Arab Saudi, Dr. Abdullah bin Abdul Mohsen At-Turki.
Antara yang terlibat dalam menjayakan majlis perasmian Majlis Ilmu 2015.
Antara yang terlibat dalam menjayakan majlis perasmian Majlis Ilmu 2015.

Ia antara lain bertujuan bagi menghargai sumbangan semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Perasmian, Ceramah Perdana, Forum Perdana, Seminar dan Pameran yang telah diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 9 November hingga 15 November ini.

Acara pada malam ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, selaku pengerusi bersama Malam Penghargaan Majlis Ilmu 2015, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Menurutnya, seramai 61 peserta yang terdiri daripada para pembentang kertas kerja, peserta-peserta pameran dan para penaja yang mewakili institusi yang diundang, menerima plak serta sijil penghargaan sebagai tanda kenang-kenangan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada penceramah-penceramah dari dalam dan luar negara, penaja-penaja, peserta-peserta pameran, pensyarah-pensyarah serta para graduan yang ikut menyumbang kepada kejayaan Majlis Ilmu 2015.

Acara turut diserikan degan persembahan Tausyeh daripada Kumpulan Nur Firdaus.

ARTIKEL YANG SAMA