Majlis Ilmu sempurna dirasmi

Majlis Ilmu sempurna dirasmi

Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 Tahun, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2016; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, selaku Penasihat Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2016.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan Qari Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2016, Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa dalam sembah alu-aluannya berkata, komitmen padu yang berterusan untuk memartabatkan ilmu sebagai asas hala tuju pembangunan adalah antara mercu tanda kepimpinan Baginda Sultan ke arah kesejahteraan negara.

“Rakyat dan penduduk di negara ini terus diperkaya dengan ilmu pengetahuan demi kesinambungan bangsa yang berteraskan syiar Islam, budaya kebruneian Melayu dan berpayung di bawah tampuk kerajaan Baginda Sultan.

Baginda Sultan semasa berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 bersama ahli kerabat diraja yang lain.
Baginda Sultan semasa berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 bersama ahli kerabat diraja yang lain.

“Alhamdulillah, hampir 50 tahun pemerintahan Baginda Sultan, negara sudah melihat para ilmuan dan generasi cendekiawan serta penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi dan forum-forum antarabangsa sebagai percambahan fikiran. Atas dasar inilah juga, Kementerian Perhubungan merasa bangga mendapat kehormatan untuk menungkayahkan Majlis Ilmu pada tahun ini.”

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa, tema Majlis Ilmu tahun ini iaitu ‘Menjana Perhubungan Berkat dan Selamat, Pemangkin Kesejahteraan Ummah’ mengetengahkan nilai perhubungan sebagai urat nadi pembangunan dan ketamadunan manusia.

Sejak merdeka, sebagai ahli komuniti antarabangsa, Negara Brunei Darussalam telah menjalin hubungan kerjasama dan mengukuh pertalian antara rakyat atau ‘people-to-people contact’ dengan bertujuan untuk meraih faedah bersama.

“Dalam suasana yang semakin global, negara tidak dapat mengecilkan diri melainkan untuk terus mengukuhkan hubungan dan melipat gandakan usaha ke arah meningkatkan sistem perhubungan yang canggih lagi dipercayai.”

Ke arah ini, jelas beliau, Brunei turut mengambil pendekatan untuk memanfaatkan pertalian hubungan atau connectivity sebagai asas destinasi pasaran, pelaburan, pendidikan, diplomasi dan meluaskan lagi syiar Islam di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurutnya, kemajuan sistem perhubungan yang merangkumi pengangkutan dan ICT telah melonjak lebih jauh ke hadapan mencalak ketamadunan dengan kelancaran penggerakan manusia, barangan, perkhidmatan dan maklumat yang membawa berbagai peluang dan juga cabaran.

Majlis Ilmu 2016 bertujuan untuk mencapai beberapa konsensus antaranya ialah pentingnya perhubungan berkat dan selamat dalam mencapai kestabilan dan keharmonian demi penubuhan ekonomi dan kesejahteraan serta merapatkan jurang sosial.

Perasmian Majlis Ilmu hari ini diserikan dengan sesi Ceramah Khas oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abd Aziz.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan untuk menandatangani lembaran kenang-kenangan dan bergambar ramai dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pandu dan para penceramah Majlis Ilmu 2016.

Majlis Ilmu 2016 diungkayahkan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Perhubungan dan diadakan selama tiga hari sehingga 25 Ogos dengan memfokuskan peranan sistem perhubungan yang merangkumi pengangkutan dan ICT selaku asas kehidupan bagi mencapai keselesaan hidup di dunia dan mendapat keredaan di akhirat.

Esok, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dijadual berangkat menghadiri Majlis Ilmu 2016 dengan satu lagi Ceramah Perdana.

Manakala pada Khamis pula akan diadakan Forum Perdana yang akan menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Sementara itu, Simposium Majlis Ilmu 2016 pula akan diadakan di Dewan Persidangan Utama, ICC pada sebelah petang sepanjang Majlis Ilmu 2016 ini berlangsung.

Orang ramai adalah dialu-alukan datang beramai-ramai bagi sesi-sesi simposium yang diadakan pada setiap petang mulai 23 Ogos 2016 hingga 25 Ogos 2016, bermula jam 2 hingga 5 petang.

Simposium tersebut akan menghidangkan banyak ilmu pengetahuan yang menarik dan memberikan maklumat yang berguna kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA