Majlis keagamaan, kemasyarakatan di YSHHB

Majlis keagamaan, kemasyarakatan di YSHHB

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Dalam usaha menanam sifat ihsan dalam diri pelajar, Sekolah-sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) terdiri daripada Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA), sekolah rendah (SR) dan sekolah menengah (SM) hari ini masing-masing mengadakan majlis keagamaan dan kemasyarakatan.

Di SR YSHHB, majlis tahlil, doa arwah dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim sekolah itu diadakan di Dewan SR YSHHB. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengetua Sekolah YSHHB, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali.

Turut berangkat ke majlis itu ialah cucunda-cucunda Baginda Sultan dan Duli Pengiran Perdana Wazir, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez bin Pengiran Anak Khairul Khalil, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah binti Pengiran Anak Khairul Khalil, Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah bin Pengiran Haji Mohd Hakimmuddin dan Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah binti Pengiran Haji Mohd Hakimmuddin berserta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Seramai 600 pelajar sekolah itu menghadiri acara itu yang diteruskan dengan majlis penyampaian derma kepada 11 orang anak yatim disampaikan tetamu kehormat. Turut menyampaikan derma kurnia peribadi ialah cucunda Duli Pengiran Perdana Wazir, Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah.

Pada masa yang sama, TASKA YSHHB juga mengadakan majlis tahlil dan Projek ‘Menderma Amalan Mulia TASKA.’

Cucunda-cucunda Baginda Sultan, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah bersama cucunda-cucunda Duli Pengiran Perdana Wazir, Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah dan Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah berserta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.
Cucunda-cucunda Baginda Sultan, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah bersama cucunda-cucunda Duli Pengiran Perdana Wazir, Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah dan Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah berserta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.
Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah bergambar ramai bersama Pemangku Pengetua Sekolah Rendah YSHHB dan para penerima derma.
Pengiran Qaiyimah Nurul Bolkiah bergambar ramai bersama Pemangku Pengetua Sekolah Rendah YSHHB dan para penerima derma.

Majlis itu dimulakan dengan bacaan tahlil, diikuti ceramah disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Mahasiswa Sarjana Falsafah Islamiyah, Universiti Kaherah, Mesir, Awang Rahman bin Haji Ajak.

Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian derma kepada kanak-kanak TASKA oleh Pemangku Pengetua TASKA, Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab.

Antara tujuan projek berkenaan diadakan adalah bagi memberikan pendedahan kepada murid-murid mengenai amalan menghulurkan derma kepada anak-anak yatim, memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada kanak-kanak dengan memasukkan sumbangan derma mereka ke dalam tabung derma yang telah disediakan, menanamkan sifat pemedulian dalam kalangan kanak-kanak terhadap mereka yang kurang bernasib baik, serta menambahkan amalan khususnya pada bulan suci Ramadan.

Manakala itu, SM YSHHB juga tidak ketinggalan dalam mengadakan acara sedemikian di mana mereka telah mengadakan ‘Program Amal Ramadan Untuk Keluarga yang Kurang Berkemampuan.’

Program itu merupakan program pendekatan sekolah menengah itu untuk menyemai rasa tanggungjawab kepada pelajarnya dalam sosial dan kesedaran sosial.

Hadir pada program itu dan menyampaikan ucapan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mosbi selaku pengerusi pada majlis berkenaan.

Para guru, kakitangan dan pelajar telah menyampaikan sumbangan berupa makanan dan keperluan harian seperti beras, minyak, tepung, dan makanan dalam tin kepada keluarga yang kurang bernasib baik dan membantu mereka dalam persediaan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang hampir tiba.

Penerima bantuan adalah beberapa orang pelajar dari SM Pengiran Isteri Hajah Mariam (PIHM), SM Rimba II, SM Sultan Sharif Ali, Pusat Tingkatan Enam Meragang, SM Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri, Sekolah Sukan, SM Rimba, dan SM Sayyidina Othman, Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA