Majlis keagamaan rai ulang tahun ke-3

Majlis keagamaan rai ulang tahun ke-3

Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Sempena meraikan ulang tahun perasmiannya yang ke-3, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) telah mengadakan majlis keagamaan yang berlangsung di masjid berkenaan di Kampung Sungai Akar, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong, selaku Penaung ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Majlis telah dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Haji Syamsul Nizam bin Haji Badar, kemudian diteruskan dengan bacaan Ratib al-Attas dan bacaan Doa Kesyukuran.

Majlis juga diselajurkan dengan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri 1437 Hijrah yang turut diserikan dengan persembahan qasidah dan tausyeh oleh jemaah masjid berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut sama menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah bersama para jemaah masjid.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut sama menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah bersama para jemaah masjid.

Majlis ini diadakan bagi menyahut visi dan misi MRSB iaitu untuk menjadikannya sebagai pusat ibadah dan perkembangan ilmu bagi membentuk masyarakat yang bertakwa (berilmu, beriman dan beramal soleh) ke arah mencapai hasrat Negara Zikir.

Manakala itu, misi MRSB adalah untuk mengembang majukan serta memakmurkan MRSB sebagai pusat peribadatan, ilmu pengetahuan dan kegiatan ummah di mukim masjid, melalui perancangan dan pengurusan yang berkesan dan dinamik bagi melahirkan insan yang beriman, bertakwa dan berilmu, berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah menurut Ahli Sunnah Wal-Jama’ah Mazhab Syafie’.

ARTIKEL YANG SAMA