Majlis keagamaan Saudara Ku Kampung Setia

Majlis keagamaan Saudara Ku Kampung Setia

Oleh Md Haslen

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Ceramah Hijrah berperanan sebagai peringatan kepada umat Islam tentang perlunya sentiasa ada kesedaran untuk merubah minda, hati dan iman bagi menjadi masyarakat yang kuat, cergas dan berdikari sebagai benteng pertahanan dari segala cabaran, dugaan, musibah, masalah dan sebagainya.

Sehubungan itu, ahli-ahli jawatankuasa Saudara Ku Kampung Setia telah menganjurkan Majlis Tahlil dan Sambutan Awal Tahun Hijrah bertempat di kediamaan salah seorang ahlinya, Supt (B) Haji Yahya bin Haji Ibrahim, di Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan.

Turut Hadir pada majlis itu ialah Ketua Kampung Setia ‘A’, Pegawai Waran (B), Haji Asli bin Haji Mamut.

Majlis tersebut diisi dengan ceramah keagamaan yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Usuluddin, Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit yang juga merupakan anak kepada salah seorang ahli Saudara Ku Kampung Setia.

Dalam ceramah Awang Mohd Khairul Nazif antara lain menceritakan kisah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersama sahabat baginda perihal orang kurang lancar membaca Al-Quran lebih banyak pahalanya daripada orang pandai dan lancar membaca Al-Quran.

ATAS dan BAWAH: Sebagai kenangan, sesi bergambar ramai selepas acara selesai.
ATAS dan BAWAH: Sebagai kenangan, sesi bergambar ramai selepas acara selesai.

Ceramah disampaikan oleh Awang Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.
Ceramah disampaikan oleh Awang Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

Menurut Awang Mohd Kahirul Nazif, para sahabat telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, di mana logiknya orang yang kurang pandai atau lancar membaca Al-Quran banyak pahalanya berbanding dengan orang pandai dan lancar membaca Al-Quran?

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, telah menjawab, kerana pertama adalah apabila orang ini membaca Al-Quran akan tersekat-sekat (terhenti-henti) dan mengulangi lagi bacaan tersebut berkali-kali, maka sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Allah Subhanahu Wata’ala telah meningkatkan pahala orang tersebut disisinya.

Kedua tambah Awang Mohd Kahirul adalah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ,lebih suka mendengar orang membaca Al-Quran, kerana ia lebih memberikan ketenangan kepada Baginda.

Ketiga pula jelasnya adalah sentiasa mengamalkan bacaan zikir-zikir kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Terdahulu majlis telah bermula dengan sembahyang Fardhu Isyak berjemaah dan kemudian diikuti dengan majlis bertahlil yang dipimpin oleh Haji Bujang bin Deris.

ARTIKEL YANG SAMA