Majlis keagamaan semarakkan sambutan ulang tahun TLDB ke-51

Majlis keagamaan semarakkan sambutan ulang tahun TLDB ke-51

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), semalam, telah memperingati ulang tahunnya yang ke-51 dengan mengadakan majlis-majlis keagamaan bagi menghormati bulan Ramadan yang suci ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, pada sebelah pagi, para pegawai dan kakitangan TLDB telah menghadiri majlis tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.

Acara didahului dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil oleh Pegawai Operasi JAMAAT, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kapten Narulismandy bin Haji Samaih.

Majlis tahlil ini juga diadakan bagi memperingati sumbangan bersejarah Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien atas penubuhan TLDB pada 14 Jun 1965 yang pada ketika dikenali sebagai Bahagian Bot, Rejimen Melayu Diraja Brunei.

Hadir di majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja ialah Pemerintah TLDB manakala bacaan Surah Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Kapten Narulismandy.
Hadir di majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja ialah Pemerintah TLDB manakala bacaan Surah Yasin dan Tahlil dipimpin oleh Kapten Narulismandy.

Selepas majlis tahlil, ia disusuli dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran, serta solat fardu Zohor berjemaah di Surau TLDB yang diimamkan oleh imam surau berkenaan, Awang Mohammad Khairol Azmi bin Haji Salleh.

Hadir pada kedua-dua majlis berkenaan ialah Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan TLDB.

Majlis-majlis keagamaan ini adalah antara aktiviti TLDB yang dikendalikan secara berasingan setiap tahun bagi menyambut ulang tahunnya.

Bagaimanapun, bagi mengambil keberkatan di bulan Ramadan ini, kedua-dua majlis diadakan bersama bagi menyemarakkan lagi bulan yang suci ini dalam mengukuhkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan TLDB, serta memohon rahmat dan ganjaran daripada Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA