Majlis Keselamatan PBB tamatkan sekatan terhadap Liberia

Majlis Keselamatan PBB tamatkan sekatan terhadap Liberia

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 26 Mei – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi untuk menamatkan sekatan yang dikenakan ke atas Liberia sejak lebih sedekad, lapor agensi berita China Xinhua.

Resolusi yang baharu diterima pakai itu memutuskan menamatkan segera sekatan senjata dikenakan ke atas negara berkenaan dan juga menamatkan jawatankuasa berkaitan sekatan dan panel pakar.

Sejak beberapa tahun yang lalu sekatan terhadap Liberia telah dikurangkan. Pada September lepas PBB menamatkan sekatan larangan perjalanan dan pembekuan aset.

Langkah sekatan dikenakan ke atas negara itu susulan tercetusnya perang saudara di mana pihak yang bertelagah terlibat dengan urusan perdagangan senjata dan belian secara haram.

Di terima pakai pada 2003, resolusi Majlis Keselamatan 1521 menetapkan kriteria menamatkan sekatan itu sebagai gencatan senjata, melengkapkan proses pelucutan senjata, penyusunan semula sektor keselamatan selain melaksanakan perjanjian damai.

Menurut kenyataan dikeluarkan jurucakap, Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon mengalu-alukan langkah itu dan menyifatkan ia sebagai satu perkembangan penting untuk Liberia bagi mengekalkan kestabilan.

Beliau turut menyeru kerajaan Liberia mengambil langkah sepatutnya untuk memantapkan undang-undang serta rangka kerja pentadbiran yang perlu bagi menangani masalah pengedaran senjata dan peluru secara haram. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA