Majlis Kesyukuran Istiadat Bersiram

Majlis Kesyukuran Istiadat Bersiram

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Azrol Azmi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran Istiadat Bersiram Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah sempena selamat meluaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad ‘Aamir bin Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini telah berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.

Yang Teramat Mulia telah selamat meluaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad ‘Aamir pada hari Jumaat, 24  Rabiulakhir 1436 Hijrah bersamaan 13 Februari 2015 Masihi, jam 6.55 petang.

Majlis petang tadi disempurnakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

Majlis disempurnakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz (kanan). Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini (kiri).
Majlis disempurnakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz (kanan). Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini (kiri).

p04-2_20150501

Antara yang hadir di Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran Istiadat Bersiram Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, di Istana Nurul Iman.
Antara yang hadir di Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran Istiadat Bersiram Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, di Istana Nurul Iman.

p04-4_20150501

Istiadat Bersiram bermula dengan empat Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk meletakkan Dian Empat yang sedia terpasang (bertunu) di tempat yang ditentukan. Kemudian, diikuti dengan tiga Awang-Awang membawa masuk Surat Zikir, Bantal Geguling dan Pebarahan dan meletakkannya di tempat yang telah ditentukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kuncang yang juga mengetuai persembahan Dikir Assalamualai bagi pegawai-pegawai masjid.

Kemudian, Majlis Berdikir diteruskan dengan bacaan Rawi (Al-Berzanji Nasar) dan diikuti dengan bacaan Dikir Asrakal Badru.

Sebaik sahaja Dikir Asrakal Badru sampai ke perenggan Ya Habibi, sebanyak 17 das tembakan meriam dilepaskan di pekarangan Istana Nurul Iman.

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Berangkat dan hadir ke majlis itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang dan setiausaha-setiausaha tetap serta timbalan setiausaha tetap.

ARTIKEL YANG SAMA