Majlis Kesyukuran JIPK ke-57

Majlis Kesyukuran JIPK ke-57

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-57 hari ini, dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran, bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pegawai-pegawai JIPK, ahli-ahli takmir masjid dan penduduk kampung sekitarnya.

Majlis dimulakan dengan solat sunat hajat dan diikuti dengan doa kesyukuran dibacakan oleh Penolong Pengarah Imigresen, Pengiran Mohammad bin Pengiran Haji Aliakbar.

Majlis diteruskan dengan bacaan takhtim, doa khatam Al-Quran, dikir marhaban dan penyampaian sijil penyertaan bagi pegawai dan kakitangan JIPK yang mengikuti 30 juzuk bacaan Al-Quran.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama para tetamu yang lain hadir di Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran Sempena Penubuhan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan Ke-57 Tahun.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama para tetamu yang lain hadir di Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran Sempena Penubuhan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan Ke-57 Tahun.

pg04_150701_d

Antara para jemputan yang ikut serta dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran jabatan berkenaan.
Antara para jemputan yang ikut serta dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran jabatan berkenaan.

Ia turut diselajurkan dengan penyerahan sumbangan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dan penyerahan sumbangan derma kepada 16 orang anak-anak yatim daripada kalangan pegawai dan kakitangan yang pernah bertugas di JIPK.

JIPK ditubuhkan pada 1 Julai 1958 sebagai salah satu agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan isi dalam negara ini sentiasa terkawal dan terpelihara dari ancaman-ancaman luar selaras dengan akta dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh jabatan ini.

Jabatan itu kini menjadi salah sebuah agensi kerajaan yang memainkan peranan penting di dalam melaksanakan peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini demi kebajikan serta kesejahteraan masyarakat amnya serta keharmonian dan keamanan negara khususnya.

ARTIKEL YANG SAMA