Majlis Kesyukuran Penerangan ke-64

Majlis Kesyukuran Penerangan ke-64

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Azrol Azmi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini, menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-64 tahun dengan mengadakan solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, dan diselajurkan dengan Majlis Bertahlil dan Doa Kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks JPM, di sini.

Majlis dihadiri oleh Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad dan juga pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan, serta jemaah masjid berkenaan.

Majlis dimulai dengan menunaikan solat Fardu Maghrib berjemaah dan diikuti dengan solat Sunat Hajat, bertahlil dan seterusnya membaca doa kesyukuran.

Sepanjang 64 tahun penubuhannya, Jabatan Penerangan telah melangkah maju ke hadapan sejajar dengan misi jabatan untuk memelihara dan mencemerlangkan imej raja, negara dan kerajaan melalui penyebaran maklumat yang cepat, tepat dan berwibawa.

Awang Mawardi bersama para pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan hadir pada Majlis Bertahlil dan Doa Kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen.
Awang Mawardi bersama para pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan hadir pada Majlis Bertahlil dan Doa Kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen.

Selain itu, menjadi platform dua hala di antara kerajaan dan rakyat dalam mendukung falsafah, aspirasi dan matlamat negara melalui strategi kerja dalam penyaluran maklumat melalui media cetak, komunikasi bersemuka dan media baru.

Jabatan Penerangan ditubuhkan pada 1 April 1952 dan dahulunya dikenali sebagai Perkhidmatan Penerangan.

Antara peranan utama jabatan adalah sebagai lidah dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan berita mengenai dasar, aktiviti dan program kerajaan serta mendengar isu-isu serta kebimbangan orang ramai dan memahami agenda media massa.

Selain itu, jabatan berkenaan juga berperanan untuk memupuk dan memelihara semangat cintakan raja dan negara, mengendali pengurusan dan ehwal hubungan dengan media serta mengendali aktiviti publisiti dan promosi bagi acara-acara kebesaran.

ARTIKEL YANG SAMA