Majlis kesyukuran penubuhan Yayasan ke-24

Majlis kesyukuran penubuhan Yayasan ke-24

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-24 tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Tingkat 4, Kompleks Yayasan, di sini, hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; Timbalan Pengerusi II Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA), para pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena 24 tahun penubuhan Yayasan dan diselajurkan dengan solat fardu Isyak berjemaah.

YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke majlis tersebut.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengerjakan solat fardu Maghrib berjemaah di majlis itu.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengerjakan solat fardu Maghrib berjemaah di majlis itu.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyertai bacaan Surah Yasin beramai-ramai.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyertai bacaan Surah Yasin beramai-ramai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dalam dekad pertama penubuhannya, Yayasan telah mengusahakan pelbagai rancangan, projek dan aktiviti selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya iaitu meliputi bidang agama, kebajikan, pendidikan, pembangunan dan kewangan.

Setelah mencapai segala perancangan dan perlaksanaan objektif dan matlamat, Yayasan terus melipatgandakan usahanya dalam memasuki dekad kedua dan mengambil inisiatif baharu dalam menghadapi keadaan demografi dan sosioekonomi yang sentiasa berubah dan mencabar.

Dalam memasuki dekad yang ketiga, menurut kenyataan itu, Yayasan akan terus merancang dan mengambil langkah-langkah proaktif dan inovatif yang bersesuaian bagi meningkatkan pencapaian perancangan, projek dan aktivitinya.

Yayasan akan terus menghulurkan bantuan yang sesuai kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam selaras dengan visinya ‘Meningkatkan Kualiti Hidup serta Menuju ke Arah Kecemerlangan dalam Sosiobudaya dan Sosioekonomi’.

Yayasan akan memastikan apa juga bantuan dan perkhidmatan yang dihulurkan serta projek yang diungkayahkan adalah terancang, terarah dan menepati kumpulan sasarannya demi meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA