Majlis kesyukuran sempena Hari Guru

Majlis kesyukuran sempena Hari Guru

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-26 tahun 2016, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) petang tadi telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu Negara.

Hadir di majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Asar berjemaah yang telah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.

Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Ratib Al-Attas yang telah dikepalai oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Mudim Haji Ahmad Kasra bin Haji Ibrahim. Manakala itu, Doa Kesyukuran telah dibacakan oleh Penguasa masjid, Awang Zulkifli bin Haji Murat.

Menteri Pendidikan dan Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat.
Menteri Pendidikan dan Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat.
Sembahyang fardu Asar diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Hamidon.
Sembahyang fardu Asar diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Hamidon.

Seramai 1,500 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan termasuk para pendidik yang telah bersara, guru-guru dan penuntut sekolah, maktab-maktab, institusi pengajian tinggi dan teknikal di Kementerian Pendidikan dan KHEU telah menghadiri majlis berkenaan.

Ia merupakan sebahagian daripada kegiatan-kegiatan keagamaan sempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam.

Tahun ini, acara kemuncak Majlis Sambutan Hari Guru ke-26 yang membawa tema ‘Guru Bijaksana Pembina Generasi Berwawasan’ akan diadakan pada 29 September ini di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Sementara itu, Majlis Doa Kesyukuran bagi Peringkat Sekolah-sekolah di Bawah Kawalan Kementerian Pendidikan dan KHEU di seluruh negara akan diadakan secara serentak pada 1 Oktober 2016 di sekolah masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA