Majlis khas sambut tahun 2016 Sarawak

Majlis khas sambut tahun 2016 Sarawak

KUCHING, 29 Dis – Kerajaan negeri Sarawak akan mengadakan majlis khas sambutan Tahun Baharu 2016 di jambatan Tun Abang Muhammad Salahuddin, Petra Jaya Khamis ini, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Misnu Taha.

Beliau berkata majlis yang dijangka dihadiri lebih 10,000 itu diadakan di jambatan itu bersempena pemansuhan bayaran tol di jambatan itu berkuat kuasa 1 Jan depan.

Katanya, majlis dijadualkan bermula pukul 9 malam dan akan dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah dan Datuk Jamal Abdillah serta pertunjukan bunga api.

“Ini merupakan pemansuhan tol terakhir di Sarawak selepas pemansuhan bayaran tol di Jambatan Lanang di Sibu dan Jambatan ASEAN Baram, Miri,” katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Menurut Misnu, rakyat Sarawak menyifatkan tindakan kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem memansuhkan bayaran tol sebagai tindakan yang baik dalam usaha meringankan beban hidup rakyat. – Bernama