Majlis Khatam 32 kali di keempat-empat daerah

Majlis Khatam 32 kali di keempat-empat daerah

Oleh Syahmi Hassan, Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli

Gambar oleh Muiz Matdani, Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32, Majlis Khatam Al-Quran 32 Kali Khatam telah diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, hari ini.

Di Daerah Brunei dan Muara, majlis telah diadakan di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil serta timbalan setiausaha tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Majlis di daerah ini telah melibatkan seramai 1,196 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi institusi pengajian tinggi, penuntut-penuntut dari Institusi Pendidikan Teknik Brunei, sekolah-sekolah menengah dan agama, ahli-ahli persatuan belia, pelatih Program Khidmat Bakti Negara, pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB), peserta Program Belia Cinta Tanah Air, para sukarelawan, belia masjid, qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyertai Majlis Khatam Al-Quran 32 kali yang diadakan di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyertai Majlis Khatam Al-Quran 32 kali yang diadakan di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Antara peserta yang hadir dan mengikuti khatam 32 kali di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Antara peserta yang hadir dan mengikuti khatam 32 kali di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.

pg04_160226_c

pg04_160226_d

Di Daerah Belait, majlis telah diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Haji Azman bin Haji Ahmad.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis yang diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Daerah Belait.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis yang diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Daerah Belait.
Antara peserta Majlis Khatam Al-Quran 32 kali, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 32 Tahun bagi Daerah Belait, kelmarin.
Antara peserta Majlis Khatam Al-Quran 32 kali, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 32 Tahun bagi Daerah Belait, kelmarin.

Lebih 140 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, penuntut-penuntut dari Institusi Pendidikan Teknik Brunei dan sekolah menengah, pelatih PPB dan ahli-ahli persatuan belia telah terlibat pada majlis berkenaan.

Manakala itu, di Daerah Tutong, majlis telah diadakan di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Mukim Kiudang dengan melibatkan seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, ahli-ahli persatuan belia, sukarelawan, dan penuntut-penuntut pusat tingkatan enam dan Ma’had Islam Brunei.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Dato Paduka Haji Suhaimi menghadiri Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Mukim Kiudang, Tutong.
Dato Paduka Haji Suhaimi menghadiri Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Mukim Kiudang, Tutong.

Di Daerah Temburong pula, majlis telah diadakan di Masjid RPN Kampung Rataie dan melibatkan seramai 130 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Badan Kebajikan Guru-guru Ugama, ahli-ahli persatuan belia dan belia-belia masjid serta Muslimah masjid.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Haji Osman bin Haji Mohd Yusof.

Majlis ini merupakan salah satu projek anjuran Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS buat kali ketiga berturut-turut dan pertama kali diadakan secara serentak di keempat-empat daerah.

Ia antara lain bertujuan untuk menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan dan ke arah menyemarakkan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Penganjuran majlis yang berkebajikan seperti ini dihasratkan akan dapat meningkatkan lagi penglibatan para belia dalam aktiviti-aktiviti keagamaan yang bermanfaat bagi generasi belia selain mendukung hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA