Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara

Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Kampung Jerudong telah mengendalikan Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara Sempena Tadarus Al-Quran Bulan Ramadan bagi Tahun 1437H/2016M hari ini.

Majlis yang berlangsung di masjid berkenaan itu dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Turut hadir, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, kumpulan-kumpulan belia masjid seluruh negara serta penduduk-penduduk kampung.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Roslan, diikuti dengan bacaan surah-surah khatam, Tahtim dan Tahlil yang dipimpin oleh Kumpulan Belia Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, manakala Doa Khatam telah dibacakan oleh Belia Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Mohd Norhazim Wafiuddin bin Haji Kamaruzzaman sementara bacaan Doa Tahlil pula dibacakan oleh Belia Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong, Awang Mohd Hamizan bin Haji Awang.

Awang Roslan bersama tetamu yang lain pada Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Awang Roslan bersama tetamu yang lain pada Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia Masjid Seluruh Negara di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban oleh ketua-ketua Zon, pegawai-pegawai masjid serta ahli jawatankuasa takmir masjid dan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara dibacakan oleh Belia Masjid Sungai Besar, Haji Mohd Ali Taufiq bin Haji Abd. Rahman.

Pada majlis itu, seramai 60 orang anak-anak yatim yang terpilih di seluruh negara menerima sumbangan berupa minuman tin daripada EZY Printing Sdn Bhd dan sumbangan tersebut disampaikan oleh Awang Roslan dan Pengurus EZY Printing, Dato Tiong Ing Ping.

Antara lain tujuan majlis ini adalah untuk menyuntik semangat cinta kepada kitab suci Al-Quran dan beramal dengannya serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli kumpulan belia masjid seluruh negara, di samping menyemarakkan lagi masjid dengan aktiviti-aktiviti keagamaan bagi membina sebuah Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA