Majlis Khatam Al-Quran pegawai, staf wanita KHEU

Majlis Khatam Al-Quran pegawai, staf wanita KHEU

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Bagi menyemarakkan bulan Ramadan Al-Mubarak ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Al-Kareem yang disertai oleh pegawai dan kakitangan wanita KHEU dan kumpulan-kumpulan Muslimah masjid, di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Alimah binti Mohd Taib.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ra‘es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim.

Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah Al-Quran dimulai dengan Surah Ad-Dhuha, seterusnya bacaan Takhtim oleh pegawai-pegawai Jabatan Pengajian Islam, manakala itu, doa khatam Al-Quran dibacakan oleh Dayang Siti Huzaimah Yadey binti Haji Rosli.

Majlis turut diserikan oleh persembahan Dikir Marhaban oleh Muslimah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, dan diselajurkan dengan pemberian sumbangan wakaf daripada KHEU kepada Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Sesi bergambar ramai tetamu kehormat bersama tetamu khas, pegawai KHEU dan Muslimah Masjid.
Sesi bergambar ramai tetamu kehormat bersama tetamu khas, pegawai KHEU dan Muslimah Masjid.

Menurut kenyataan KHEU, majlis ini dihasratkan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kementerian dengan para Muslimah masjid di Negara Brunei Darussalam.

Inisiatif ini juga merupakan usaha untuk memakmurkan rumah Allah dan meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan.

Majlis ini merupakan kesinambungan daripada Majlis Tadarus bagi Pegawai dan Kakitangan Wanita KHEU yang diadakan dua minggu lalu di Masjid Kampung Limau Manis. Ia merupakan projek tahunan KHEU, yang mana ini adalah kali ke-8 ia dikendalikan.

ARTIKEL YANG SAMA