Majlis Khatam Al-Quran penutup tadarus

Majlis Khatam Al-Quran penutup tadarus

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jun – Bagi menandakan berakhirnya majlis bertadarus di masjid-masjid, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis khatam Al-Quran bagi rombongan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah diadakan di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah timbalan-timbalan menteri kewangan, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, serta para pegawai dan kakitangan di kementerian berkenaan.

Pada majlis itu, doa khatam Al-Quran dan tahlil dipimpin oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Haji Asleena bin Haji Metussin dan diselajurkan dengan majlis berbuka puasa serta solat fardu Maghrib berjemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Masjid Ash-Shaliheen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Masjid Ash-Shaliheen.

Pada tahun ini, Majlis Bertadarus Kementerian Kewangan dan Jabatan-jabatan di Bawahnya yang dikendalikan oleh Jabatan Kastam dan Eksesais Diraja telah diadakan di tiga buah masjid iaitu Masjid Kampung Pelambayan, Masjid Kampung Beribi dan Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata.

Sementara itu, Majlis Khatam bagi Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Jabatan-jabatan di Bawahnya pula berlangsung di Masjid Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Dr Abdul Manaf bin Haji Metussin, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan di kementerian berkenaan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian wakaf berupa unit kipas angin dinding bagi kegunaan masjid berkenaan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato kepada imam masjid tersebut.

Majlis juga diserikan dengan majlis berbuka puasa dan solat fardu Maghrib berjemaah.

Rombongan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah meneruskan Majlis Tadarus di Daerah Temburong yang diadakan di Sekolah Rendah Rataie, Temburong.
Rombongan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah meneruskan Majlis Tadarus di Daerah Temburong yang diadakan di Sekolah Rendah Rataie, Temburong.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menyampaikan wakaf kepada Haji Aslan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menyampaikan wakaf kepada Haji Aslan.

Dalam pada itu, rombongan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya pula telah meneruskan majlis tadarus di Daerah Temburong yang diadakan di Sekolah Rendah Rataie, Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Turut hadir ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Prof Madya Dr Haji Azman bin Haji Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus, para pengarah dan pegawai dari jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan, pengetua, guru-guru besar dan guru dari sekolah-sekolah di Daerah Temburong.

Pada majlis itu, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom turut menyampaikan wakaf berupa 15 buah rehal, dua hamparan karpet dan dua gulung sejadah panjang kepada Guru Kanan Pentadbiran Sekolah Rendah Rataie, Haji Aslan bin Haji Rosli.

Majlis tersebut merupakan acara tahunan Kementerian Pendidikan dan pada tahun ini ia dikendalikan bersama oleh Jabatan Sekolah–sekolah, Bahagian Pengajian Tinggi dan Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat termasuk tadarus Al-Quran di samping untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

ARTIKEL YANG SAMA