Majlis khatam Al-Quran rancak diadakan di akhir Ramadan

Majlis khatam Al-Quran rancak diadakan di akhir Ramadan

Oleh Syahmi Hassan, Imelda Groves HA & Hamidah Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Majlis-majlis khatam Al-Quran terus rancak diadakan oleh pelbagai pihak dalam hari-hari terakhir di bulan Ramadan ini yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Antara yang mengadakan majlis seumpamanya hari ini ialah Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas yang berlangsung di masjid berkenaan dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan isteri.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Penaung Masjid Kampung Kilanas.

Kira-kira 60 orang menyertai majlis khatam Al-Quran berkenaan, yang dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis.

Majlis yang diselajurkan dengan berbuka puasa beramai-ramai itu antara lain bertujuan bagi merebut peluang beramal dan berkat di bulan Ramadan dengan menghalusi lagi bacaan Al-Quran.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan lagi tali silaturahim antara ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas bersama para jemaah masjid, serta untuk melibatkan para golongan belia sebagai golongan pelapis.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir pada majlis kha-tam Al-Quran di Masjid Kampung Kilanas.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir pada majlis kha-tam Al-Quran di Masjid Kampung Kilanas.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan semasa majlis khatam Al-Quran di Masjid Kampung Belimbing Subok.
Dato Paduka Haji Mohd Roselan semasa majlis khatam Al-Quran di Masjid Kampung Belimbing Subok.
Suasana majlis bertadarus dan khatam Al-Quran di Masjid Kampung Menengah, Tutong.
Suasana majlis bertadarus dan khatam Al-Quran di Masjid Kampung Menengah, Tutong.

Sementara itu, 80 orang jemaah Masjid Kampung Belimbing Subok yang terdiri daripada jemaah dewasa, remaja dan Muslimah pula telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Kampung Belimbing Subok.

Para peserta telah berjaya khatam tiga kali sepanjang malam bertadarus di Masjid Kampung Belimbing Subok.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud yang juga selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belimbing Subok.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Gapor@Mohd Daud bin Karim, Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Naim bin Haji Kamis dan Ketua Kampong Subok, Haji Jais bin Haji Salleh.

Majlis anjuran Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belimbing Subok itu diakhiri dengan bersungkai bersama Dato Paduka Haji Mohd Roselan dan seterus-nya solat Maghrib berjemaah.

Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Menengah, Tutong pula telah mengadakan majlis bertadarus dan khatam Al-Quran bagi ahli-ahlinya, yang dihadiri kira-kira 300 orang penduduk kawasan kampung berkenaan.

Majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Menengah, itu juga diselajurkan dengan penyampaian derma kepada dua orang anak yatim dari Kampung Menengah dan Bukit Sulang, Mukim Lamunin, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan derma kepada anak-anak yatim berkenaan ialah Penghulu Mukim Lamunin, Haji Tujoh bin Talip.

Sumbangan derma berkenaan merupakan hasil kutipan daripada penduduk kampung tersebut dan sekitarnya.

Manakala itu, baru-baru ini, majlis seumpamanya juga telah berlangsung di Masjid Kampung Kapok yang diadakan bersempena Nuzul Al-Quran dan menyemarakkan lagi hari-hari terakhir bulan Ramadan.

Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Kampung Kapok, Haji Marali bin Ahmad yang turut menyampaikan cenderahati kepada para peserta khatam di akhir acara.

ARTIKEL YANG SAMA