Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Ugama Bukit Panggal

Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Ugama Bukit Panggal

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 28 Julai – Seramai 10 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama Bukit Panggal petang tadi diraikan dalam majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Bukit Panggal, Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Imam Masjid Kampung Bukit Panggal, Haji Hasmali bin Haji Talip.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan bacaan surah oleh murid-murid yang menyertai majlis khatam Al-Quran. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah 3 hingga 5 dan diikuti dengan bacaan Doa Khatam.

Seterusnya, majlis dimeriahkan lagi dengan laungan Dikir ‘Ash Rakal’ oleh murid-murid lelaki Darjah 3 hingga 5 sebelum diikuti dengan acara menabur bunga rampai serta penyampaian sijil Khatam oleh tetamu kehormat.

Majlis khatam Al-Quran bagi murid-murid Darjah 6 sekolah-sekolah agama merupakan sebahagian daripada projek tahunan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama sejak tahun 1985.

Murid-murid Darjah 6 Sekolah Ugama Bukit Panggal yang menyertai majlis khatam Al-Quran berkenaan.
Murid-murid Darjah 6 Sekolah Ugama Bukit Panggal yang menyertai majlis khatam Al-Quran berkenaan.

Untuk memastikan murid-murid telah khatam, mereka diarahkan untuk membaca Al-Quran di rumah sejak Darjah 4 mengikut juz yang telah ditetapkan dengan mendapat pengesahan daripada ibu bapa atau guru-guru agama di sekolah masing-masing.

Antara tujuan majlis ini diadakan adalah bagi menggalakkan murid-murid sentiasa mengamalkan pembacaan Al-Quran dengan betul dan lancar serta memastikan murid-murid berkenaan telah khatam membaca Al-Quran 30 Juzuk sebelum mereka meninggalkan atau menamatkan Darjah 6 sekolah agama.

Di samping itu, ia juga diharapkan mengeratkan kerjasama dan perpaduan di antara ibu bapa, guru-guru dan para murid dalam sama-sama mengendalikan majlis keagamaan di sekolah-sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA