Majlis Khatam Al-Quran sempena Hari Keluarga

Majlis Khatam Al-Quran sempena Hari Keluarga

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Bagi mengukuhkan lagi tali silaturahim dan hubungan kekeluargaan dalam kalangan keluarga Al-Marhum Radin Orang Kaya Pemancha Mirusin agar terus berpanjangan hingga ke akhir hayat, ahli keluarga tersebut hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena dengan Sambutan Hari Keluarga yang diadakan setiap tahun.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Tahamid bin Haji Nudin, yang juga selaku Penghulu Mukim Gadong ‘A’. Juga hadir ialah daripada kalangan ahli keluarga berkenaan.

Majlis Khatam yang berlangsung di Masjid Kampung Beribi itu disertai seramai 120 orang terdiri daripada cucu dan cicit keluarga tersebut.

Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan dalam usaha membentuk masyarakat supaya agar lebih aktif dalam persatuan, di samping merapatkan lagi tali kekeluargaan.

Tetamu kehormat yang menghadiri Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Keluarga Al-Marhum Radin Orang Kaya Pemancha Mirusin.
Tetamu kehormat yang menghadiri Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Keluarga Al-Marhum Radin Orang Kaya Pemancha Mirusin.
Ahli keluarga Al-Marhum Radin Orang Kaya Pemancha Mirusin semasa Majlis Khatam Al-Quran.
Ahli keluarga Al-Marhum Radin Orang Kaya Pemancha Mirusin semasa Majlis Khatam Al-Quran.

Menurut salah seorang ahli keluarga berkenaan, di awal penubuhan keluarga Al-Marhum ini, ia bertujuan semata-mata untuk mengumpulkan ahli keluarga tersebut dalam satu kumpulan.

Mereka juga mengungkayahkan aktiviti-aktiviti lain seperti mewakafkan kitab Al-Quran ke masjid-masjid pilihan di negara ini, selain mewakafkan tikar solat, rehal dan lain-lain lagi.

Menurut beliau lagi, aktiviti tersebut tidak hanya tertumpu di Negara Brunei Darussalam sahaja, tetapi juga telah dilaratkan hingga ke luar negeri seperti Sarawak dan Sabah. Selain itu, mereka juga akan mengadakan aktiviti membantu anak-anak yatim seramai enam orang pada Februari nanti, yang berupa bantuan kewangan dan keperluan dapur.

“Aktiviti seumpamanya diharapkan dapat dilakukan secara terus-menerus dalam usaha untuk mencari keredaan Allah S.W.T semata-mata,” jelas beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA