Majlis Khatam Al-Quran SM Katok

Majlis Khatam Al-Quran SM Katok

BANDAR SERI BEGAWAN – Sekolah Menengah (SM) Katok, baru-baru ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 69 kali bagi 96 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 11.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM Katok, Awang Mansur bin Jaludin. Program ini merupakan salah satu aktiviti pengisian masa pelajar Tahun 11 di sekolah, di samping sebagai program berterusan setiap tahun untuk pelajar berkenaan yang akan menamatkan persekolahan di peringkat menengah.

Ia diadakan bagi menjunjung hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir ke arah menuju Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur di samping mengamalkan penghayatan terhadap falsafah Melayu Islam Beraja.

Antara pelajar SM Katok yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran 69 kali.
Antara pelajar SM Katok yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran 69 kali.

Antara tujuan dan objektif program pembacaan Al-Quran 69 kali khatam bagi Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ini adalah untuk menanamkan dan menyuburkan budaya membaca, mempelajari dan menghayati Al-Quran serta mengamalkan ajaran-ajarannya sebagai amalan harian dalam kalangan diri pelajar.

Selain itu, ia juga untuk menggalakkan para pelajar berusaha mengkhatamkan bacaan Al-Quran sebaik sahaja menamatkan persekolahan di peringkat sekolah menengah dan juga menyuntik semangat pihak sekolah agar menyediakan inisiatif-inisiatif yang menyokong konsep amalan kehidupan ke arah Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA