Majlis Khatam Al-Quran terus bersemarak

Majlis Khatam Al-Quran terus bersemarak

Oleh Yusrin Junaidi, Airil & HM Yusof

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Bulan Ramadan kini hampir ke penghujungnya, namun aktiviti keagamaan seperti Majlis Khatam Al-Quran masih lagi dilaksanakan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Antara yang turut mengadakannya adalah para pegawai dan kakitangan serta rakan seliaan dari Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara di Balai Ibadat, Perumahan Baitul Mal, Kampung Selayun, Sengkurong.

Majlis tersebut diadakan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Penghulu Mukim Sengkurong selaku tetamu kehormat, Haji Musa bin Haji Tahir @ Haji Siti.

Setelah majlis khatam selesai disempurnakan, acara diteruskan dengan penyerahan wakaf kepada pihak masjid berkenaan dan penyampaian sijil penyertaan daripada Annur Harapan Sendirian Berhad kepada rakan-rakan seliaan.

Antara para pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara yang mengadakan Majlis Khatam Al-Quran.
Antara para pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara yang mengadakan Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan seterusnya doa selamat dibacakan bagi memberkati majlis berkenaan.

Sementara itu, di majlis berasingan di Daerah Tutong, seramai 25 belia Masjid Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang telah menamatkan bacaan mereka di Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di masjid berkenaan.

Majlis yang dianjurkan itu adalah sebagai aktiviti keagamaan semasa bulan Ramadan untuk menggalakkan belia masjid mengisi masa mereka dengan membaca Al-Quran sebanyak 30 Juzuk sepanjang bulan suci ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lamit, yang juga mengetuai bacaan Al-Fatihah.

Tetamu kehormat (tengah) menyampaikan sumbangan derma kepada anak yatim RPN Bukit Beruang. – Gambar Airil
Tetamu kehormat (tengah) menyampaikan sumbangan derma kepada anak yatim RPN Bukit Beruang. – Gambar Airil

Majlis juga diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh Ahli Jawatankuasa Masjid berkenaan dan seterusnya peserta khatam berziarah kepada tetamu kehormat.

Di majlis tersebut seramai 20 anak-anak yatim di kampung berkenaan turut menerima sumbangan derma yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Manakala itu, Kumpulan Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong dan Masjid Kampung Keriam Tutong juga merebut kesempatan menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Tetamu Kehormat (gambar atas, 2 kanan) bersama para peserta Khatam Al-Quran Muslimah. – Gambar HM Yusof
Tetamu Kehormat (gambar atas, 2 kanan) bersama para peserta Khatam Al-Quran Muslimah. – Gambar HM Yusof

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah isteri kepada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking, Dayang Zainnah binti Haji Awang Layeh.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh tetamu kehormat, diikuti dengan majlis khatam oleh para peserta khatam yang diraikan. Majlis diakhiri dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam.

Majlis seumpama ini diadakan bagi memeriahkan lagi serta merebut keberkatan dan ganjaran pahala dalam bulan Ramadan, di samping dapat mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan sesama Muslimah.

ARTIKEL YANG SAMA