Majlis Khatam Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam

Majlis Khatam Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

DALAM menyemarakkan lagi keberkatan Ramadan, seramai 100 ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) dan ahli Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam telah mengikuti Majlis Khatam Al-Quran persatuan berkenaan yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD, Anggerek Desa baru-baru ini.

Majlis khatam Al-Quran yang antara lain bertujuan sebagai salah satu kegiatan persatuan dalam menyambut dan mengimarahkan bulan Ramadan disamping memupuk budaya membaca Al-Quran dalam kalangan ahli persatuan dan seterusnya mendidik ahli persatuan dari aspek kerohanian.

Pada majlis itu, dua kumpulan yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Tadbir, Pemimpin, Pemimpin Muda, Ranjer Puteri dan Pandu Puteri menamatkan bacaan masing-masing untuk melengkapkan bacaan kesemua 30 Juz Al-Quran bagi kumpulan masing-masing.

Persatuan Pandu Puteri mengadakan majlis khatam Al-Quran.
Persatuan Pandu Puteri mengadakan majlis khatam Al-Quran.

Hadir menyertai dalam majlis khatam Al-Quran itu, Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris, Datin Paduka Hajah Jusnani binti Haji Lawie dan Datin Hajah Masni binti Haji Aji.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siri Hafsah binti Haji Abdul Halim dan di majlis itu, bacaan doa khatam dibacakan oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani. Majlis itu diteruskan dengan bacaan tahlil dan Surah Yasin bagi Al-Marhum Begawan Sultan Haji Omar’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit kemudian disusuli dengan solat fardu Zohor berjemaah.

ARTIKEL YANG SAMA