Majlis khatam satukan rakan lama

Majlis khatam satukan rakan lama

Oleh Hajah Saemah

 

KUALA BELAIT, 29 Mei – Kira-kira 60 orang dalam kalangan bekas pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMRIPAD) dan Sekolah Menengah Arab Lelaki Hassanal Bolkiah (SMALHB) tahun 1970 hingga 1975 telah berjaya membaca 30 Juzuk Al-Quran dan majlis Khatam Al-Quran diadakan secara bergilir di rumah peserta.

Sehubungan dengan itu, Majlis Khatam Al-Quran kali ini telah diadakan di rumah Hajah Jairamah binti Duraman, di RPN Kampung Pandan Tujuh, selaku pengerusi majlis, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, yang juga merupakan bekas pelajar SMALHB, dan datin.

Hajah Jairamah memberitahu Media Permata, majlis khatam Al-Quran itu merupakan kali ketiga diadakan pada tahun ini, yang melibatkan penyertaan bekas pelajar kedua-dua sekolah berkenaan.

Menurutnya, setiap orang daripada mereka telah khatam pembacaan 30 juzuk, dan majlis khatam Al-Quran diadakan secara bergilir di rumah kalangan mereka di seluruh negara.

Dato Paduka Haji Ali menyampaikan cenderahati kepada tuan rumah, Hajah Jairamah dan suami.
Dato Paduka Haji Ali menyampaikan cenderahati kepada tuan rumah, Hajah Jairamah dan suami.

“Hari ini, adalah giliran di rumah saya di RPN Kampung Pandan Tujuh, dan majlis kami ini adalah untuk menambah eratkan lagi siratulrahim dan persahabatan kami sejak daripada sekolah lagi,” ujarnya sambil menambah sebahagian mereka pernah tinggal bersama di asrama, sehingga ke tingkatan enam, dan berpisah setelah masing-masing dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pengajian.

Beliau juga memberitahu bahawa, majlis khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan juga akan diadakan, dan mereka akan memulakan pembacaan pada awal Ramadan nanti.

Sementara itu, Dato Paduka Haji Ali dalam ucapan ringkasnya melahirkan rasa bersyukur kerana persahabtan mereka berterusan sehingga ke hari ini, sejak tercetusnya majlis pertemuan semula dianjurkan beberapa tahun lalu.

“Saya juga bersyukur dengan adanya kemudahan media sosial seperti Whatsapp dan sebagainya, persahabatan dapat dieratkan semula, dan berbagai rancangan untuk menyatu padukan kalangan mereka agak mudah dilaksanakan dengan adanya kemudahan tersebut,” katanya.

Di majlis berkenaan, Dato Paduka Haji Awang Ali turut menyampaikan bunga telur kepada para peserta lelaki manakala isteri beliau menyerahkan kepada kalangan peserta wanita.

Untuk menambah eratkan lagi ukhuwah kekeluargaan antara mereka, tetamu kehormat dan tuan rumah turut bertukar-tukar cenderahati.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai sebagai tanda merakamkan kenangan manis pertemuan semula rakan-rakan lama sesama di bangku sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA