Majlis Khatam semarakkan bulan Ramadan

Majlis Khatam semarakkan bulan Ramadan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Seramai 300 orang yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, surau dan balai ibadat Daerah Brunei dan Muara telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran ke-4 anjuran Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei Muara dan Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, ialah Pengarah Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan bacaan ayat-ayat lazim dan bacaan takhtim oleh para peserta.

Doa khatam pula telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Ketua Zon 2A, Awang Mohd Hanapi bin Haji Zaini dan diikuti dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Haji Kamaruzzaman bin Haji Jakar. Manakala itu, Doa Tahlil pula dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Haji Zamhari bin Haji Ibrahim.

Pengarah Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang hadir selaku tetamu kehormat.
Pengarah Unit Perundangan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang hadir selaku tetamu kehormat.
Para peserta khatam yang hadir ke majlis itu.
Para peserta khatam yang hadir ke majlis itu.

Majlis berkenaan diteruskan lagi dengan penyampaian sijil penyertaan kepada ketua-ketua zon masjid oleh tetamu kehormat majlis dan disusuli dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat majlis.

Majlis khatam ini adalah bertujuan untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan amal ibadat dan kebajikan serta sebagai salah satu usaha dan wadah dalam menyatupadukan dan mengukuhkan jalinan kerjasama serta silaturahim dalam kalangan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, surau dan balai ibadat serta pihak Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Selain itu, ia juga untuk menghargai sumbangan dan kerjasama yang telah dihulurkan oleh mereka dalam membantu apa jua urusan pekerjaan atau tugas pegawai-pegawai masjid selama ini.

ARTIKEL YANG SAMA