Majlis khatam semarakkan bulan Ramadan

Majlis khatam semarakkan bulan Ramadan

Oleh Yusrin Junaidi/ Salawati Haji Yahya/ Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan dalam menyemarakkan bulan suci Ramadan semata-mata untuk mencari ganjaran pahala daripada amalan yang dibuat pada bulan yang penuh mulia ini, di samping memperbanyakkan sedekah dan sebagainya.

Sehubungan itu, pelbagai pihak giat mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang menandakan berakhirnya majlis-majlis Tadarus Al-Quran antaranya Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi, kelmarin.

Hadir mengetuai rombongan Kementerian Pembangunan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional), Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny; Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Marzuke bin Haji Mohsin, ketua-ketua jabatan/divisyen, pegawai serta kakitangan kementerian berkenaan.

Majlis didahului dengan penyerahan wakaf yang berupa satu unit ‘water jet’ dan satu unit ‘leaf blower’ bagi keperluan masjid berkenaan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin kepada imam masjid berkenaan, Awang Faizal bin Rosli.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin semasa Majlis Khatam Al-Quran Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di Bawahnya di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin semasa Majlis Khatam Al-Quran Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di Bawahnya di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi.

Majlis khatam itu menandakan berakhirnya bacaan Al-Quran 30 Juzuk di bulan Ramadan oleh pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sementara itu, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran baru-baru ini di Masjid Kampung Lumapas.

Majlis khatam tersebut diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga selaku Pengerusi Pengarah Lembaga Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Selepas bacaan Al-Quran, tiga sumbangan berasingan berjumlah $130,000 telah didermakan kepada Dana Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA), yang mana $100,000 adalah daripada Perbadanan TAIB, $20,000 daripada Insurans Islam TAIB Sdn Bhd dan $10,000 daripada Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Sumbangan telah diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Haji Brahim bin Haji Ismail. Bantuan sumbangan juga turut diberikan kepada anak-anak yatim yang terdiri daripada keluarga Perbadanan TAIB yang disumbangkan oleh Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Turut hadiri ialah Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Awang Rosdi Amin Yaakub; ahli-ahli lembaga pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Syariah, tetamu jemputan dan para kakitangan.

Di Daerah Belait pula, Pasukan Polis Diraja Brunei juga mengadakan Majlis khatam Al-Quran bertempat di Surau Polis Panaga yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Mohd Shah Al-Islam.

Turut hadir di majlis itu ialah pengarah-pengarah, pegawai-pegawai Pemerintah Daerah Polis, pegawai-pegawai kanan berserta anggota-anggota pangkat rendah Daerah Polis Belait.

Seramai 22 orang peserta pembaca Khatam Al-Quran terdiri daripada pegawai-pegawai dan anggota pangkat rendah Daerah Polis Belait, anak-anak anggota polis, dan juga beberapa orang awam. Dalam pada itu, Bahagian Pengetahuan Ugama Islam (IRK) di Jabatan Pengajian Islam juga mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi pegawai dan guru Bahagian IRK (Institusi Pengajian) Jabatan Pengajian Islam sempena Nuzul Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 653 orang pegawai dan guru agama di sekolah menengah, rendah, swasta, teknikal dan vokasional di seluruh negara mengikuti Majlis Khatam Al-Quran itu.

ARTIKEL YANG SAMA