Majlis Khatam serentak seluruh negara

Majlis Khatam serentak seluruh negara

Oleh Yusrin Junaidi & Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Seramai 316 pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja di seluruh negara telah diraikan di Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, anjuran Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sempena Tadarus dalam bulan Ramadan, hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 225 pelajar adalah dari Daerah Brunei dan Muara, 36 dari Daerah Tutong, 28 dari Daerah Belait dan 27 lagi dari Daerah Temburong.

Di Daerah Brunei dan Muara, majlis berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Beribi telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam selaku tetamu kehormat.

Sementara itu, di Daerah Tutong, majlis berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, Tutong, dan dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Awang Ramli bin Haji Lahit.

Di Daerah Belait pula, majlis diadakan di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Shafiee bin Ahmad.

Antara yang hadir di Majlis Khatam Al-Quran bagi Skim Tilawah Al-Quran Remaja yang diadakan secara serentak di seluruh negara.
Antara yang hadir di Majlis Khatam Al-Quran bagi Skim Tilawah Al-Quran Remaja yang diadakan secara serentak di seluruh negara.
Para pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja Daerah Belait yang menyertai Khatam Al-Quran di bulan Ramadan.
Para pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja Daerah Belait yang menyertai Khatam Al-Quran di bulan Ramadan.

Manakala itu, Dewan Sekolah Persediaan Arab Temburong menjadi tumpuan majlis khatam senegara di Daerah Temburong dengan dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Belingus, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad.

Majlis Khatam berkenaan merupakan salah satu dari projek atau rancangan tahunan Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam, KHEU yang dikendalikan oleh Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir, Bahagian Pelajaran Lanjutan.

Ia antara lain bertujuan untuk menyemarakkan dan memeriahkan suasana bulan Ramadan dengan bacaan Al-Quran (Tadarus), sebagai menunaikan tanggungjawab bagi memastikan bahawa semua pelajar-pelajar skim berkenaan membaca Al-Quran dalam bulan Ramadan, serta menggalakkan para pelajar supaya terus menerus membaca Al-Quran dengan baik dan lancar.

Majlis ini juga dihasratkan supaya para pelajar dapat mengkhatamkan Al-Quran 30 juzuk setiap bulan Ramadan dan mengeratkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan tenaga pengajar dan para pelajar.

Majlis khatam di keempat-empat daerah bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dengan dipimpin oleh tetamu kehormat diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah an-Nas oleh para pelajar.

Bacaan doa khatam pula dibacakan oleh wakil-wakil pelajar Tahun 2, Dikir Asyrakal oleh para pelajar lelaki Tahun 1 skim berkenaan, kemudian diakhiri dengan bacaan doa selamat.

ARTIKEL YANG SAMA