Majlis Khatam, sumbangan derma PPNBD

Majlis Khatam, sumbangan derma PPNBD

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Keagamaan serta Bahagian Pengakap Perempuan telah mengendalikan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Derma kepada Anak-Anak Yatim dan Saudara Baru di Balai Ibadah PPNBD, Jalan Gadong, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Yang Di-Pertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas. Turut hadir Naib Yang Di-Pertua, Pengiran Wahab bin Pengiran Hassan; Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar bin Haji Ali; setiausaha agong, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya pengakap daerah, pegawai eksekutif pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap, ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana serta kira-kira 100 orang ahli pengakap.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Khatam yang telah dipimpin oleh Pesuruhjaya Bahagian Keagamaan, Awang Muhammad Arif bin Abdul Hadi diikuti dengan bacaan Takhtim oleh ahli-ahli Pengakap.

Dato Paduka Haji Idris menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim.
Dato Paduka Haji Idris menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim.

Majlis menyaksikan penyampaian sumbangan derma kepada seramai 18 orang anak yatim serta dua orang saudara baru terdiri daripada ahli-ahli pengakap yang disampaikan oleh Dato Paduka Haji Idris. Majlis diakhiri dengan acara berbuka puasa serta solat Fardu Maghrib, Isyak serta solat sunat Tarawih.

Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan itu merupakan kegiatan keagamaan yang dijalankan pada setiap tahun bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia selain meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

Majlis itu bermatlamat untuk menyuntik semangat cintakan kitab suci Al-Quran di samping menerapkan budaya membaca Al-Quran dalam kalangan ahli Pengakap dan beramal sebagai panduan kehidupan serta mengeratkan hubungan silaturahim.

ARTIKEL YANG SAMA