Majlis Khatam, tahlil bekas penghuni asrama Maktab SOAS, 19 Jun ini

Majlis Khatam, tahlil bekas penghuni asrama Maktab SOAS, 19 Jun ini

OIeh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Majlis Khatam Al-Quran, Membaca Tahlil dan Doa Arwah yang diselajurkan dengan Berbuka Puasa bagi bekas Penghuni Asrama Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) akan diadakan pada 19 Jun 2016 ini.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Majlis, Haji Abdul Rahman bin Haji Lahap, menjelaskan bahawa majlis tersebut akan diadakan di Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak bermula jam 4:45 petang.

Hampir 180 bekas penghuni asrama tersebut dijangka hadir ke majlis tersebut, termasuk Yang Dimuliakan POKSP DSS Dr. Haji Ahmad bin Haji Jumat yang juga merupakan bekas penghuni ‘senior’ yang akan berkesudian untuk hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Menurut beliau lagi, majlis berkebajikan ini bertujuan untuk menyatukan dan mengeratkan kembali hubungan silaturahim di antara bekas penghuninya melalui pelbagai kegiatan yang telah dan sedang dirancang seperti Majlis Pertemuan Semula pada tahun 2014, Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2015, perarakan Maulidur Rasul tahun 2014 dan 2015, Majlis Bertadarus bagi 2015 dan 2016 serta bermacam-macam lagi kerja kebajikan dan khairat.

Ahli Jawatankuasa Majlis Khatam Al-Quran, Tahlil dan Doa Arwah semasa perbincangan dalam satu perjumpaan yang berlangsung baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa Majlis Khatam Al-Quran, Tahlil dan Doa Arwah semasa perbincangan dalam satu perjumpaan yang berlangsung baru-baru ini.

Acara Khatam Al-Quran yang bakal berlangsung nanti adalah bagi meraikan 31 orang peserta yang telah menghabiskan bacaan masing-masing bersempena mengambil berkat bulan Ramadan yang mubarak ini.

Sementara itu, bacaan Tahlil dan Doa Arwah adalah bagi mengingati seramai 83 rakan bekas penghuni asrama yang telah kembali ke rahmatullah.

Buat julung-julung kalinya juga, jawatankuasa penganjur telah berusaha untuk menggabungkan semula seramai mungkin bekas penghuni ‘senior’ yang telah lama terputus hubungan di antara satu sama yang lainnya bilamana nanti kalangan bekas penghuni ‘junior’ akan dapat berkenalan dengan bekas penghuni ‘senior-senior’ mereka.

Di kesempatan itu nanti, Haji Abdul Rahman melahirkan harapan agar bekas-bekas penghuni akan dapat terus mengukuhkan persaudaraan yang memang sudah terjalin sejak sekian lamanya.

Sehubungan itu, bekas-bekas penghuni yang masih belum mendaftar diharap supaya akan dapat mengambil peluang dan kesempatan ini untuk berbuat demikian dengan menghubungi urus setia majlis melalui talian 8821032, 7110196 dan 8762141.