Majlis khatam UNISSA

Majlis khatam UNISSA

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Seramai 47 graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran Graduan dan Doa Kesyukuran sempena Hafl Al-Takharruj ke-5 UNISSA bagi tahun 1436H/2015M, yang berlangsung di Dewan Auditorium UNISSA. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Hakim Syar’ie, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan isteri, Pengiran Anak Datin Hajah Masnah binti Pengiran Anak Safiuddin.

Turut Hadir ialah Timbalan Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor UNISSA, Dr. Arman bin Haji Asmad, para pegawai utama, dekan dan timbalan-timbalan dekan, para pengarah, pegawai dan kakitangan, para pensyarah serta mahasiswa-mahasiswi UNISSA.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran para ibu bapa graduan yang hadir dengan perasaan gembira dengan pencapaian yang diperoleh oleh anak-anak mereka.

Majlis Khatam Al-Quran kendalian Bahagian Hal Ehwal Pelajar itu merupakan salah satu acara tradisi dan terpenting setiap kali berlangsungnya Hafl Al-Takharruj UNISSA, sebagai penghujung program halaqah Khatam Al-Quran secara berkumpulan sehingga tamat 30 juzuk dan dilaksanakan pada semester terakhir pengajian para graduan.

Tetamu Kehormat memimpin bacaan Surah Al-Fatihah di awal majlis berkenaan.
Tetamu Kehormat memimpin bacaan Surah Al-Fatihah di awal majlis berkenaan.
Antara graduan UNISSA yang terlibat di majlis berkenaan.
Antara graduan UNISSA yang terlibat di majlis berkenaan.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin dan diikuti dengan bacaan surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas oleh para peserta, disusuli dengan bacaan Takhtim oleh mahasiswa UNISSA serta disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Graduan Program Sarjana Muda Syariah (Fiqeh dan Usul), Awang Muhammad Amaluddin bin Jamaluddin.

Yang Dimuliakan Pehin seterusnya menabur bunga rampai dan menyampaikan sijil kepada para peserta Khatam dengan diiringi Dikir Marhaban sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena para graduan menamatkan pengajian di UNISSA.

Sempena Hafl Al-Takharruj ini juga, UNISSA juga telah mengadakan majlis membaca Surah Yasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja pada 12 Oktober lalu.

ARTIKEL YANG SAMA