Majlis Konvokesyen Haflut Takharruj rai 321 pelajar Tahun 6

Majlis Konvokesyen Haflut Takharruj rai 321 pelajar Tahun 6

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Seramai 321 orang pelajar Tahun 6 Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Haflut Takharruj tahun 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Hadir menyampaikan hadiah kepada para pelajar ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof. Turut hadir ialah Pengetua sekolah berkenaan, Dayang Sarimah binti Haji Ahmad.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, “Matlamat sekolah ini adalah untuk membentuk warga sekolah yang berwawasan, berakhlak mulia dan berdaya saing berpandukan nilai islam”.

Menurutnya, sekolah ini mempunyai fungsi utama dalam memupuk proses pembelajaran berterusan untuk merubah, melatih dan mendidik akal fikiran, jasmani dan rohani pelajar dengan berasaskan nilai Islam bersumberkan wahyu bagi melahirkan pelajar bertakwa dan mengabadikan diri kepada Allah S.W.T.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bersama para tetamu yang lain hadir pada Majlis Konvokesyen Haflut Takharruj pelajar Tahun 6.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bersama para tetamu yang lain hadir pada Majlis Konvokesyen Haflut Takharruj pelajar Tahun 6.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika menyampaikan hadiah terbaik dan cemerlang bagi pelajar Tahun 5 dan 6.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz ketika menyampaikan hadiah terbaik dan cemerlang bagi pelajar Tahun 5 dan 6.

Sehubungan itu, beliau menyeru untuk sama-sama merealisasikan matlamat dan proses pembelajaran yang memerlukan penumpuan persediaan menghadapi cabaran yang berbeza dari semasa ke semasa daripada sekolah dan guru-guru.

“Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada orang luar, pembelajaran di sekolah ini mampu bersaing dalam melalui perubahan persekitaran pendidikan yang sentiasa terdedah kepada penambahbaikan serta pembaharuan bagi membangun dan membina nilai positif ke arah kehidupan yang sempurna,” tambahnya.

Beliau seterusnya menyeru para pelajar untuk terus berusaha menunjukkan prestasi yang membanggakan dan terus cemerlang dalam meraih kejayaan.

Antara pelajar yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Haflut Takharruj itu.
Antara pelajar yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Haflut Takharruj itu.

Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan persembahan nasyid oleh pelajar Tahun 5 di sekolah berkenaan.

Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah terbaik dan cemerlang bagi pelajar Tahun 5 dan 6 yang berjaya meraih potensi kecemerlangan dalam beberapa kategori antaranya terbaik dan cemerlang dalam penilaian kemajuan pelajar, cemerlang akademik dan cemerlang koakademik dan kokurikulum.

Dengan adanya majlis ini, ia diharap dapat memberi suntikan dan pendorong kepada pelajar untuk terus bersemangat berusaha mencapai kejayaan dan kecemerlangan yang berterusan.

ARTIKEL YANG SAMA