Majlis kunjungan hormat peserta SSEAYP ke-42

Majlis kunjungan hormat peserta SSEAYP ke-42

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Seramai 28 peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) ke-42, diketuai oleh Ketua Kontinjen, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim hari ini mengadakan majlis kunjung hormat serta menerima Bendera Negara Brunei Darussalam daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Majlis berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. Kontinjen negara terdiri daripada 14 orang belia lelaki dan 14 orang belia perempuan.

Program itu merupakan program pertukaran belia antarabangsa yang dilaksanakan khusus bagi para belia dari negara-negara ASEAN dan Jepun dengan Negara Brunei Darussalam menyertai program itu buat kali ke-30 sejak penyertaan rasmi pertama pada 1985.

Program SSEAYP 2015 akan berjalan selama 51 hari bermula pada 27 Oktober hingga 16 Disember, bertujuan memberikan peluang kepada para peserta untuk memahami mengenai cara hidup dan berinteraksi dengan para peserta program dari negara-negara ASEAN dan Jepun serta juga melawat dan mempelajari mengenai budaya serta kehidupan masyarakat di negara yang dilawati.

Para peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) ke-42 bergambar ramai bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa majlis kunjungan hormat dan penyerahan bendera negara kelmarin.
Para peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara (SSEAYP) ke-42 bergambar ramai bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa majlis kunjungan hormat dan penyerahan bendera negara kelmarin.

Semasa program tersebut, peserta-peserta berpeluang untuk singgah ke Jepun dan negara-negara Asia Tenggara termasuk Filipina, Vietnam, Myanmar dan Malaysia.

Ketua kontinjen, Pengiran Anak Mohd Sofian dalam ucapannya berkata, para peserta belia yang mempunyai pelbagai latar belakang telah mengikuti pelbagai kursus, latihan dan taklimat sebagai persediaan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan yang diatur sepanjang program itu.

Di antara yang disertai oleh para peserta, jelas beliau lagi, termasuk sesi kepimpinan, perbincangan, taklimat dan ceramah serta juga latihan kebudayaan.

ARTIKEL YANG SAMA