Majlis makan malam BruOnz

Majlis makan malam BruOnz

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Sempena Pesta Sukan BruOnz (BruOnz Summer Games) ke-8 yang bermula hari ini, gabungan persatuan-persatuan pelajar Negara Brunei Darussalam di Australia dan New Zealand telah menganjurkan Majlis Makan Malam, di Dewan Mahligai, The Airport Mall Berakas, di sini, malam ini.

Majlis kelolaan Persatuan Pelajar Brunei Melbourne, Australia (BSSMELB) dengan sokongan Kementerian Pendidikan itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Celina Cho, wakil persatuan-persatuan pelajar Brunei di Melbourne, Australia dan New Zealand iaitu BSSMELB; Bruneians Around Sydney Society (BASS); Brunei Student Society Brisbane (BSSBne); Bruneian Student Association in Western Australia (BSAWA) dan Brunei Students’ Association New Zealand (BSANZ) serta para pegawai di Kementerian Pendidikan.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom dalam ucapannya berkata, beliau mengambil maklum bahawa pesta sukan ini bertujuan untuk menggalakkan para pelajar mengikuti aktiviti sukan dan sosial yang berunsur positif, di antara para pelajar yang belajar di Australia dan New Zealand di samping menyediakan asas bagi komiti BruOnz untuk berkongsi idea dan banyak lagi.

Beliau melahirkan kepercayaan bahawa para pelajar juga berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar fikiran bukan sahaja dari perspektif kesukanan malahan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pembelajaran di institusi masing-masing.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom semasa berucap pada majlis itu.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom semasa berucap pada majlis itu.
Antara perwakilan persatuan pelajar di luar negara yang menghadiri majlis makan malam itu.
Antara perwakilan persatuan pelajar di luar negara yang menghadiri majlis makan malam itu.

“Dengan adanya pertukaran dan perkongsian maklumat ini saya percaya para pelajar akan lebih peka mengenal iklim pendidikan pada masa kini,” ujar beliau.

Pesta Sukan BruONZ merupakan platform dan juga wadah bagi para penuntut negara ini yang menuntut di Australia dan New Zealand untuk saling kenal-mengenali di antara satu sama lain, di samping dapat memberikan mereka peluang untuk belajar memimpin dan mengendalikan sesuatu majlis dengan mengaplikasikan sedikit sebanyak pengalaman yang mereka pelajari sewaktu belajar di seberang laut.

Sukan berkenaan diharap dapat menyuntik semangat kesukanan dalam kalangan penuntut.

Pesta yang akan berlangsung sehingga 26 Januari depan di sini itu mempertandingkan acara boling, bola jaring, bola keranjang, futsal dan badminton.

Ia disertai oleh seramai 216 pelajar Brunei dengan Sydney mempunyai kontinjen terbesar iaitu seramai 84 peserta, diikuti Melbourne sebanyak 55 penyertaan, Perth sebanyak 44 penyertaan, Brisbane 38 penyertaan, New Zealand 33 penyertaan, seterusnya Canberra dan Adelaide masing-masing satu penyertaan.

Majlis Makan Malam berkenaan diselajurkan dengan Majlis Pembukaan Pesta Sukan BruOnz 2016 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA