Majlis Malam Silaturahim Bank Baiduri meriah

Majlis Malam Silaturahim Bank Baiduri meriah

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Sebagai sebahagian daripada acara tahunannya, Kumpulan Bank Baiduri malam tadi telah mengadakan Majlis Malam Silaturahim sempena Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Utama Indera Samudera, Empire Hotel & Country Club, Jerudong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis penuh warna-warni itu ialah Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah, selaku ahli Lembaga Pengarah Bank Baiduri.

Turut hadir Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah dan suami, Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin bin Pengiran Haji Hashim.

Majlis bertema ‘Salam Aidilfitri’ itu dihadiri kira-kira 1,500 orang jemputan termasuk menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin perniagaan tempatan yang terkenal, para pelanggan Bank Baiduri, rakan-rakan kongsi dan rakan niaga Bank Baiduri di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof dalam ucapan alu-aluannya telah melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada tetamu yang hadir atas sokongan yang berterusan selama ini yang menjadikan bank tersebut pemenang pelbagai anugerah bank sehingga ke hari ini.

Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah, YAM Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah, Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin, Pierre Imhof serta tetamu lain semasa menghadiri Majlis Malam Silaturahim Kumpulan Bank Baiduri sempena Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Utama Indera Samudera, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.
Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah, YAM Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah, Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin, Pierre Imhof serta tetamu lain semasa menghadiri Majlis Malam Silaturahim Kumpulan Bank Baiduri sempena Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Utama Indera Samudera, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

“Tahun lalu, kami menerima lima anugerah dan pengiktirafan. Sehingga awal tahun ini kami menerima tiga lagi anugerah – Bank Runcit Domestik bagi Brunei daripada majalah Asian Banking and Finance, Anugerah Kumpulan Perbankan Terbaik daripada World Finance dan Bank Pasaran Sedang Pesat Membangun Terbaik Dunia di Asia Pasifik bagi Brunei daripada Global Finance.

“Kami berharap untuk menerima lebih beberapa anugerah lagi sehingga hujung tahun ini,” ujarnya.

Bercakap mengenai unjuran masa depan, Imhof berkata, walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar, beliau percaya terdapat banyak peluang bagi perniagaan dan bagi kumpulan (Bank Baiduri) untuk terus membangun memandangkan Brunei semakin hebat dalam kepelbagaian ekonomi dan pembangunan perniagaan tempatan.

Beliau seterusnya menyentuh secara meluas mengenai masa hadapan bank, dalam pembangunan bagi ibu pejabat yang dijangka siap pada tahun 2017, sambil menambah terdapat perancangan untuk memindahkan beberapa cawangan-cawangan bank di premis yang besar.

Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
Persembahan nyanyian dan tarian yang menceriakan lagi Majlis Malam Silaturahim tersebut.
Persembahan nyanyian dan tarian yang menceriakan lagi Majlis Malam Silaturahim tersebut.

“Sebilangan kita sudah pun tahu, kami telah pun memindahkan cawangan Tutong ke premis yang lebih besar di Petani Mall. Kami juga merancang untuk memindahkan cawangan Serusop dan Kiulap pada suku kedua tahun 2017,” ujarnya.

Majlis sambutan kemudiannya diteruskan dengan tayangan video mengenai sorotan kumpulan beberapa tahun kebelakangan dan diikuti dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada tetamu kehormat majlis daripada badan-badan kebajikan yang hadir pada malam itu.

Sepanjang acara itu, para tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Nash, Dila P2F dan Khairy serta persembahan tarian Melayu oleh DKS Culture Group.

Acara diakhiri dengan cabutan bertuah utama kepada tiga orang pemenang bertuah dan persembahan penutup oleh artis-artis tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA