Majlis mengenang jasa dan sambutan hari guru

Majlis mengenang jasa dan sambutan hari guru

AHLI Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei 1, Jabatan Pengajian Islam Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Mengenang Jasa Pemangku Penolong Pengarah Institusi Pengajian, Jabatan Pengajian Islam, Ustazah Hajah Surbiah binti Haji Tengah yang juga hadir selaku tetamu kehormat. Majlis diteruskan dengan Sambutan Hari Guru bagi guru-guru sekolah ugama kawasan Brunei 1 bertempat di Dewan Pusat Dakwah Islamiah, baru-baru ini.

Acara dimulakan dengan bacaan doa Hari Guru oleh Awang Mohd Halidi bin Awang Haji Basar dan diteruskan dengan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei 1, Haji Mohd Said bin Haji Mustafa. Acara diikuti dengan ucapan daripada tetamu khas majlis. Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan nasyid Hari Guru daripada gabungan guru-guru sekolah ugama kawasan Brunei 1 dan persembahan sajak mengenang jasa daripada ahli-ahli Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei 1.

Menyampaikan hadiah

Seterusnya tetamu khas majlis menyampaikan hadiah kepada sekolah-sekolah yang berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama Darjah VI 2014M/1435H, Keseluruhan Terbaik Skim Galakan Khatam Al-Quran Bagi Murid-Murid Bawah Umur 10 Tahun Kali ke-24, peratus keseluruhan kedatangan terbaik murid-murid sekolah-sekolah ugama kawasan Brunei 1, penyampaian sijil bagi fasilitator kongsi sama pengajaran dan pembelajaran dan penyampaian cenderahati kepada guru yang bersara.

Antara tujuan majlis tersebut diadakan ialah untuk menghargai sumbangan dan jasa Pemangku Penolong Pengarah Institusi Pengajian terhadap khidmat bakti kepimpinan beliau terhadap sekolah-sekolah ugama kawasan Brunei 1 dan juga ingin memupuk rasa perpaduan ikhtisas dan muhibah antara guru-guru sekolah ugama kawasan Brunei 1. – Emran Nayan

Tetamu kehormat majlis bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa majlis berkenaan.
Tetamu kehormat majlis bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa majlis berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA