Majlis pejabat terbuka Great Eastern Life meriah

Majlis pejabat terbuka Great Eastern Life meriah

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Bahiyah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Kehadiran para pemegang polisi dan rakan-rakan niaga telah memeriahkan majlis pejabat terbuka Great Eastern Life Brunei sempena sambutan Tahun Baru Cina yang berlangsung di pejabatnya di Kiulap di sini, hari ini.

Pada majlis itu, pasukan Great Eastern Life Brunei yang diketuai oleh Ketua Cawangan Brunei, Caroline Sim menyajikan para tetamu dengan pelbagai hidangan bufet.

Acara yang bermula pukul 11 pagi itu dimulakan dengan menggaul Yee Sang untuk tuah yang baik, kesejahteraan, kesihatan dan semua kebaikan.

Para pelanggan juga diberikan limau Mandarin sebagai tanda semoga mereka mendapat kesejahteraan kesihatan sepanjang tahun baru ini.

Great Eastern Life Brunei mengadakan majlis pejabat terbuka buat para pemegang polisi dan rakan-rakan niaganya.
Great Eastern Life Brunei mengadakan majlis pejabat terbuka buat para pemegang polisi dan rakan-rakan niaganya.

Caroline Sim berkata, “Pejabat Terbuka Tahun Baru Cina kami adalah tradisi tahunan yang memberikan kami peluang untuk melahirkan rasa penghargaan kepada para pelanggan, perancang kehidupan, rakan niaga dan ahli-ahli bersekutu untuk berterima kasih atas sokongan bernilai dan berterusan mereka”.

Menurutnya, apa yang lebih menarik, acara itu bukan hanya mengumpulkan masyarakat Cina tetapi juga pelbagai bangsa.

“Ia menyediakan platform untuk rakan kerja, kawan-kawan, rakan niaga dan klien daripada pelbagai budaya untuk datang bersama-sama untuk berkongsi hidangan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sedia terjalin,” ujarnya.

Dalam kesempatan itu, bagi pihak pengurusan dan kakitangan Great Eastern Life Brunei, beliau mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, semoga Tahun Monyet ini memberi kebahagiaan, kesejahteraan, kesihatan dan kemakmuran kepada semua, serta semoga tahun ini semuanya akan berjalan dengan lancar.

ARTIKEL YANG SAMA