Majlis Pelajar Institut KEMUDA lawat Pusat Ehsan Belait

Majlis Pelajar Institut KEMUDA lawat Pusat Ehsan Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 26 Mei – Lebih 30 orang pelajar Majlis Pelajar Institut KEMUDA, buat pertama kalinya, telah mengadakan lawatan sekali gus melakukan kerja amal membersihkan kawasan luar dan dalam bangunan Pusat Ehsan cawangan Belait di sini, hari ini.

Awang Mohamad Hazim bin Mohamad Hisham yang mengetuai rombongan tersebut memberitahu, program tersebut merupakan sebahagian aktiviti kokurikulum sekolah tersebut, yang antara lain bertujuan untuk mendedahkan pelajar mereka dalam kerja-kerja berkebajikan selain memberikan peluang kepada pelajar menyemaikan perasaan kasih sayang kepada masyarakat yang memerlukan.

Semasa lawatan itu, para pelajar berkenaan turut beramah mesra dengan pelajar-pelajar istimewa di pusat tersebut dengan hasrat untuk mengeratkan lagi rasa kasih sayang dan kesepaduan antara pelajar dengan masyarakat di sekeliling mereka, terutamanya insan istimewa.

Menurut Awang Mohamad Hazim, aktiviti mereka itu melibatkan sepenuhnya penyertaan pelajar, berbanding sebelum ini semasa lawatan ke Pusat Ehsan di mana mereka diiringi bersama dengan para pensyarah sekolah. Pada sebelah pagi, lawatan diisi dengan kerja-kerja kemasyarakatan iaitu bergotong-royong melakukan kerja membersihkan, manakala itu, sebelah petangnya pula diadakan sesi yoga bersama pelajar-pelajar Pusat Ehsan.

Pelajar-pelajar KEMUDA bergotong-royong membersihkan kawasan luar dan dalam bangunan Pusat Ehsan cawangan Belait.
Pelajar-pelajar KEMUDA bergotong-royong membersihkan kawasan luar dan dalam bangunan Pusat Ehsan cawangan Belait.
Keceriaan pada wajah pelajar-pelajar Pusat Ehsan cawangan Belait, yang menerima kunjungan daripada Majlis Pelajar Institut KEMUDA.
Keceriaan pada wajah pelajar-pelajar Pusat Ehsan cawangan Belait, yang menerima kunjungan daripada Majlis Pelajar Institut KEMUDA.

Keceriaan jelas kelihatan di wajah pelajar-pelajar Pusat Ehsan, apabila mendapat layanan mesra para pelajar KEMUDA sambil membawa mereka membuat senaman ringan diiringi dengan muzik yang menjadi kegemaran mereka.

Menyertai sama aktiviti berkenaan ialah Pengurus Pusat Ehsan cawangan Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar, kakitangan pengajar dan warga sukarelawan pusat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA