Majlis Pembukaan Tadarus semarakkan Ramadan

Majlis Pembukaan Tadarus semarakkan Ramadan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Bagi memakmurkan dan menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh berkat ini, Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran Bagi Masjid/Surau/Balai Ibadat seluruh Negara telah dianjurkan hari ini oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Tadarus Al-Quran di masjid, surau dan balai ibadat adalah salah satu syiar untuk memakmurkan masjid, surau dan balai ibadat di negara ini, dalam suasana masyarakat Islam tanpa mengira peringkat umur untuk sama-sama memperdengarkan bacaan Al-Quran sekaligus mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menyemarakkan bulan yang penuh berkat ini dengan amal ibadat semata-mata bagi meraih keampunan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan Tadarus tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dan kakitangan di Kementerian Hal Ehwal Ugama serta penduduk kampung dan persekitaran.

Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat.
Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat.

Bulan Ramadan Al-Mubarak merupakan bulan yang dinanti-nantikan, dan memberi makna besar dalam perjalanan hidup seorang Muslim. Ini kerana ia menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada setiap amalan yang dilakukan dan padanya terhimpun rahmat serta keampunan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Pintu-pintu syurga dibuka pada bulan Ramadan ini dan peluang-peluang untuk mendapatkan kelebihan dan pahala yang berlipat ganda dibukakan seluas-luasnya kepada kita sepanjang bulan ini. Semuanya adalah tanda kemurahan rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Demikianlah juga pintu-pintu masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara dibukakan bagi umat Islam sama ada secara perseorangan mahupun keluarga dalam menggandakan amal ibadat serta menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan yang disediakan.

Tadarus Al-Quran di masjid, surau dan balai ibadat adalah merupakan salah satu aktiviti takmir di bulan Ramadan yang mendapat sambutan masyarakat Islam di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA