Majlis penuh gemilang

Majlis penuh gemilang

Oleh Sim Y. H, Yusrin Junaidi, Pg Fairol RMF & Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Cuaca yang indah dan cerah pada pagi hari di Bandar Seri Begawan bagai mengundang segenap lapisan masyarakat untuk sama-sama berkunjung dan berjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 Tahun.

Setelah majlis yang serupa diadakan di Daerah Tutong, Temburong dan Belait, kini tibalah giliran Daerah Brunei dan Muara sebagai daerah terakhir dan penutup tirai bagi majlis yang amat dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat bagi sama-sama meraikan majlis yang penuh gilang-gemilang bersama raja tercinta yang berjiwa rakyat.

Wajah-wajah ceria dan senyuman manis menerangi perkarangan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien yang menanti dari awal pagi lagi bukan sahaja untuk menatap wajah tetapi juga berjunjung ziarah kehadapan majlis raja dan pemimpin yang disanjung tinggi serta dikasihi.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan Baginda Sultan dan ahli kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam; setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Baginda Sultan bersama paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70 Tahun.
Baginda Sultan bersama paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70 Tahun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Perdana Wazir ketika berkenan menerima junjung ziarah dari rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Perdana Wazir ketika berkenan menerima junjung ziarah dari rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima pesambah.

pg03_160725_b

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Perdana Wazir berserta ahli kerabat diraja yang lain berkenan menerima junjung ziarah.
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Perdana Wazir berserta ahli kerabat diraja yang lain berkenan menerima junjung ziarah.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar bersama para penuntut sekolah yang mengambil bahagian pada majlis tersebut.
Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar bersama para penuntut sekolah yang mengambil bahagian pada majlis tersebut.

Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dikumandangkan sambil diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei, diikuti dengan laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ oleh para penghulu mukim dan ketua kampung seluruh Daerah Brunei dan Muara.

Majlis diteruskan dengan sembah kesyukuran dan taat setia oleh Awang Misle bagi mewakili rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara bagi mengalu-alukan keberangkatan Baginda Sultan serta ahli kerabat diraja yang lain.

Awang Misle dalam sembah alu-aluannya menyembahkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Baginda Sultan dan sentiasa mendukung kepimpinan Baginda memacu pembangunan serta kemajuan negara.

Majlis diteruskan dengan Perlawanan Akhir Tarik Kalat Peringkat Kebangsaan dalam Kategori Heavy Weight yang menyaksikan Pasukan Daerah Brunei Muara menentang Pasukan Daerah Tutong di mana Pasukan Daerah Brunei Muara menunjukkan kekuatannya untuk menewaskan Pasukan Daerah Tutong, sekali gus muncul juara di pertandingan berkenaan.

Atur cara majlis juga diserikan dan disemarakkan dengan persembahan khas oleh gabungan penyertaan lebih 200 orang yang terdiri daripada penuntut institusi-institusi pendidikan dari pelbagai peringkat dan institusi pengajian tinggi serta para belia di mana persembahan padang yang penuh warna-warni membawa tema ‘Daulat Raja Merentas Zaman’.

Baginda berserta ahli kerabat diraja yang lain kemudian dijunjung berangkat bagi menerima junjung ziarah ahli-ahli jawatankuasa tadbir tertinggi, jawatankuasa-jawatankuasa perayaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, para peserta persembahan padang, dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.

Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah itu amat dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini malah seluruh rakyat di negara ini amnya untuk mendekatkan diri dengan Baginda berserta ahli kerabat diraja yang lain berkenan berinteraksi, yang jelas menunjukkan sikap pemedulian Baginda kepada rakyat serta kasih dan kesetiaan rakyat kepada Baginda.

Baginda Sultan berserta ahli kerabat diraja yang lain kemudian dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Persantapan Lapau.

ARTIKEL YANG SAMA