Majlis penutup Bengkel Keusahawanan

Majlis penutup Bengkel Keusahawanan

BENGKEL Keusahawanan selama 4 hari bermula pada 25 Mei 2015 lalu telah melabuhkan tirainya pada 28 Mei 2015 dengan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel. Seramai 16 orang peserta terdiri daripada Alumni Universiti Islam Sultan Shariff Ali (UNISSA) telah menyertai bengkel tersebut yang bertempat di Sekolah Perdagangan Brunei.

Bengkel tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa ALUMNI UNISSA dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya UNISSA. Ia merupakan satu inisiatif yang cukup bermanfaat oleh pihak UNISSA bagi mengurangkan peratus pengangguran melalui penerapan kemahiran perniagaan.

Pihak UNISSA telah memberikan subsidi lebih dari 50% untuk pembayaran yuran bengkel berkenaan dalam sama-sama menarik minat para graduan lepasan universiti berkenaan untuk mengikuti bengkel tersebut. Bengkel tersebut dikendalikan oleh pihak LiveWIRE Brunei.

Pelbagai kursus diadakan

Turut hadir di majlis penyampaian sijil tersebut ialah Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan, Senior Business Counselor LiveWIRE Brunei dan Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit, Pengerusi Alumni UNISSA.

Pelbagai modul telah disediakan selama 4 hari kursus tersebut dijalankan di antaranya ialah Islamic Finance, Ke Arah Usahawan Islam yang Berjaya, Sources of Banking & Finance, Sales & Marketing dan Business Owner Risk Management.

Para peserta menerima sijil bengkel keusahawanan mereka.
Para peserta menerima sijil bengkel keusahawanan mereka.

Beberapa peserta memberikan pandangan yang positif selepas mengikuti bengkel tersebut. “Realiti bagi peniaga kecil yang menggunakan pemasaran secara atas talian (online) ialah sayalah boss dan sayalah kuli, akan tetapi dengan kesungguhan serta kerja keras, dan tidak takut untuk mengambil risiko di sampin berdoa ke hadrat Allah swt, kita semua boleh berjaya dan menjadi boss bagi perniagaan masing-masing”, – Dayang Siti Nur Zuhaidah Haji Abdullah.

“Biarlah bersusah dahulu, Insya Allah senang di kemudian hari”, komen salah seorang peserta, Dayang Siti Nur Azua yang telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas tamat pengajian di UNISSA.

Dibuka khusus untuk graduan

Bengkel ini dibukakan khusus untuk graduan-graduan lepasan UNISSA iaitu para Alumni dan juga pelajar-pelajar tahun akhir di universiti berkenaan. Di antara objektif bengkel ini ialah pendedahan secara teori mengenai ‘selok belok’ perniagaan termasuklah pendaftaran nama syarikat, perbankan, pengurusan pekerja, pengurusan wang keuntungan, pinjaman bank dan ke arah melahirkan usahawan Islam yang berjaya.

Pihak penganjur bercadang untuk mengadakan lebih banyak bengkel keusahawanan di masa akan datang dan akan mengadakan kerjasama di antara agensi-agensi yang berkenaan bagi memudahkan para peserta memulakan perniagaan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA