Majlis Penutup Dikir Maulidur Rasul pelajar di UK

Majlis Penutup Dikir Maulidur Rasul pelajar di UK

LONDON, 27 Dis – Selama 12 hari yang lepas, para pegawai, kakitangan serta penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom (UK) telah berkumpul pada tiap-tiap malam bagi acara dikir untuk memperingati Ulang Tahun Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, sepertimana yang diadakan di tanah air.

Acara kemuncak telah diadakan di Brunei Hall, London pada 23 Disember 2015, iaitu malam 12 Rabiulawal 1437H.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin POKSM DSP Haji Abidin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai Ugama, Unit Penuntut-penuntut (UPP) London, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapha.

Majlis kemudian diikuti dengan laungan dikir, bacaan Doa Dikir dan juga Doa Kesyukuran di atas selesai dan sempurnanya Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di UK baru-baru ini, yang menyaksikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

TYT Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menghadiri majlis tersebut.
TYT Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menghadiri majlis tersebut.
Para pelajar dan warga Brunei di United Kingdom ketika bersalam-salaman bersama tetamu kehormat di majlis itu.
Para pelajar dan warga Brunei di United Kingdom ketika bersalam-salaman bersama tetamu kehormat di majlis itu.
Antara jemaah wanita yang hadir pada majlis tersebut.
Antara jemaah wanita yang hadir pada majlis tersebut.

Lebih 120 orang hadir pada majlis penutup dikir tersebut, terdiri daripada pegawai-pegawai, kakitangan, keluarga-keluarga, serta penuntut-penuntut.

Dalam acara Ceramah Bersama Mufti yang berlangsung baru-baru ini di Brunei Hall, Mufti Kerajaan Brunei, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned telah memberikan galakan untuk meneruskan amalan berdikir di luar negara seperti yang diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di tanah air.

Ini kerana ia merupakan salah satu cara untuk sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dan memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

ARTIKEL YANG SAMA