Majlis Penutup Hari Keluarga PGGMB sempena Hari Guru ke-26

Majlis Penutup Hari Keluarga PGGMB sempena Hari Guru ke-26

Oleh Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) bukan sahaja melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan pencapaian bidang akademik dan pembelajaran pelajar-pelajar tetapi tidak kurang melaksanakan program bagi mengembangkan lagi pengetahuan dan kemahiran para guru PGGMB termasuk Inisiatif Amalan Terbaik Kecemerlangan dalam Pendidikan untuk menjadikan mereka lebih kreatif, berdikari dalam pengajaran, penyelesai masalah yang baik, berfikiran kritikal serta mampu untuk bekerjasama secara berpasukan.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung PGGMB, Haji Matassan bin Haji Bungso dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penutup Sambutan Hari Keluarga PGGMB Sempena Sambutan Hari Guru ke-26 yang berlangsung di Dewan Sekolah PGGMB, Sungai Akar, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar. Turut hadir ialah Yang Di-Pertua PGGMB, Cikgu Haji Antin bin Haji Ahad, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, guru-guru Sekolah PGGMB serta para penerima anugerah yang diraikan.

Dalam ucapannya lagi, Haji Matassan berkata guru-guru juga didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan latihan dari semasa ke semasa di mana usaha para guru yang gigih, berdikari dan komited kepada pengajaran serta pembelajaran PGGMB diberikan penghargaan anugerah bagi guru-guru cemerlang.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom yang menghadiri majlis berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom yang menghadiri majlis berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyampaikan sijil dan hadiah pelajar-pelajar terbaik 2015.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyampaikan sijil dan hadiah pelajar-pelajar terbaik 2015.
Haji Matassan menyampaikan kata alu-aluannya.
Haji Matassan menyampaikan kata alu-aluannya.

Menyentuh mengenai dengan Sambutan Hari Keluarga PGGMB, beliau berkata ia dilaksanakan dengan hasrat untuk mengeratkan silaturahim seluruh warga PGGMB termasuk guru, pelajar dan ibu bapa serta merapatkan lagi hubungan jalinan dan jaringan di kalangan warga PGGMB dan masyarakat.

Penyampaian anugerah

Pada majlis berkenaan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom telah menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil pelajar-pelajar terbaik 2015 kepada Dayang Farah Hana binti Sanuse, Dayang Nurul Izzati binti Awang Shuani, Awang Muhammad Aiman Syafiq bin Haji Ramlee, Dayang Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini, Dayang Nurien Syukrena binti Haji Sulong dan Dayang Nurul Hikmah binti Hidzam@Muhammad Bukhari.

Pada majlis itu juga, penyampaian anugerah bagi penghargaan perkhidmatan guru-guru PGGMB 2016, penghargaan perkhidmatan kakitangan PGGMB 2016 dan tunas pelajar harapan 2016 serta hadiah sempenan Sambutan Hari Keluarga PGGMB 2016 iaitu bagi pemenang pertandingan Dikir Syarafil Anam, pertandingan koir Sekolah PGGMB dan pertandingan sukan futsal turut disampaikan.

Majlis turut diserikan persembahan daripada johan Pertandingan Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Hari Keluarga PGGMB 2016 dan johan Koir Sekolah-Sekolah PGGMB sempena Sambutan Hari Keluarga PGGMB 2016.

ARTIKEL YANG SAMA