Majlis Penutup Tadarus Istana Nurul Iman

Majlis Penutup Tadarus Istana Nurul Iman

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Majlis Bertadarus Al-Quran di Istana Nurul Iman yang diadakan sejak bermulanya bulan Ramadan, berakhir malam ini dengan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

Majlis dilangsungkan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin bin Pengiran Haji Abbas.

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, timbalan-timbalan menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Hulubalang, setiausaha-setiausaha tetap, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pesuruhjaya Polis, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan jemputan lainnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Kemudian majlis diikuti dengan bacaan surah lazim ayat-ayat suci Al-Quran yang didahului oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Yang Amat Mulia Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin mengepalai Majlis Khatam Al-Quran di Istana Nurul Iman.
Yang Amat Mulia Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin mengepalai Majlis Khatam Al-Quran di Istana Nurul Iman.

Sejurus selesai bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, majlis diikuti dengan bacaan Takhtim dan juga Tahlil beramai-ramai.

Doa Tahlil telah dibacakan oleh Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan Dikir Syarafil Anam oleh pegawai-pegawai masjid yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Haji Awang Emran bin Haji Kunchang yang kemudiannya membaca Doa Dikir.

Bagi memohon keberkatan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

ARTIKEL YANG SAMA